Wednesday, January 11, 2012

Pengaruh sahabat dalam kehidupan~

Assalamualaikum..

Saya masih ingat, sewaktu saya akan menjejakkan kaki di matrikulasi PJ, saya sangat bimbang dengan apa yang saya hadapi. Sahabat yang bagaimana akan saya temui. Sebab saya sangat memahami hadis ini:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

(Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari)

Waktu itu saya bimbang jugak dengan diri sendiri. Apa tidaknya, saya tahu sangat yang saya ni memang cepat terpengaruh. Saya tahu saya tidak kuat. Saya memang mudah sangat terikut-ikut dengan persekitaran. Saya fikir kalau saya dapat kawan yang teruk, memang macam tu jugalah saya nanti. Baru saya sedar perkataan "pengaruh rakan sebaya" yang selalu digunakan dalam karangan Bm tu memang benar-benar berlaku dalam diri remaja. Saya sendiri tak kuat untuk melawan pengaruh itu. Saya harap sangat saya dapat kawan-kawan yang baik, jadi kalau saya terpengaruh sekalipun, hanya ke arah kebaikan. Kadang-kadang saya benci apa yang saya suka. Sebab yang saya suka itu kadang-kadang merosakkan diri saya..Saya tak mahu diri saya terus menjauh, tergelincir dan terus sesat dari jalan kebenaran.Nauzubillahiminzalik..Sebab itu saya mahu kawan yang dapat menegur saya kalau saya terlalai.

Namun Allah lebih mengetahui. Sesungguhnya saya tiada masalah dengan kawan-kawan saya waktu itu. Semua baik, cuma tidak ke arah membudayakan Islam itu sendiri. Pergaulan agak bebas, pemakaian tidak mengikut syariat, banyak perkara tidak selari dengan Islam dan saya hanya mampu melihat kerana tidak punya kekuatan menegur. Ternyata saya tidak tenang. Saya rasa saya makin lama makin menjauh dari Allah. Sedikit-sedikit, jadi lalai tanpa saya sedar..Sungguh saya tak sedar akan perubahan saya waktu itu. Apa yang saya tidak suka lakukan suatu masa dahulu, perlahan-lahan saya terlibat sama. Benar sekali hadis di atas, "Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk." Mungkin saya tidak sampai terbakar, tapi ada juga bau busuk itu menghinggapi saya, sekali sekala.

Walaupun keadaan masih terkawal dan saya masih menjaga batas-batas saya, namun saya sangat bimbang jika ia berlarutan, tak mustahil saya akan semakin jauh. Dalam diam saya bersunguh-sungguh berdoa agar Allah menemukan saya dengan mereka yang faham apa yang saya mahukan. Saya mahukan kawan-kawan yang mampu membuatkan saya jadi lebih baik, yang mendidik saya dengan akhlak mereka, dan yang menegur jika saya salah. Sebab saya tahu jika saya buat salah, saya tak akan perasan kesalahan itu sebenarnya satu kesalahan. Ini yang saya takutkan. Saya takut tertipu dengan diri sendiri.

Alhamdulillah, Allah mendengar kata hati saya. Tidak lama kemudian, saya mula mengenali kawan-kawan yang memahami saya..Seperti biasa, saya yang cepat terpengaruh ini tidak lepas dari pengaruh mereka,tapi apa yang saya suka adalah mereka membawa pengaruh yang baik pada saya dan saya sedikit lega. Saya mula menjinakkan diri ke usrah, saya ingat benar arwah ummi saya pesan,

"Cubalah cari dan join usrah, biar orang tak ajak pun, tapi kita kena cari."

Sekarang baru saya faham kenapa ummi berpesan begitu. Ada kepentingan dan keseronokan dalam berusrah. Diri saya tertegur dengan sendiri apabila mereka lebih banyak beramal dari saya. Saya jadi cemburu dan mahu buat diri jadi lebih baik. Saya mula rasa lebih tenang sedikit walaupun ada juga masanya saya malas dan beri berjuta alasan bila kesibukan melanda..Alhamdulillah..Allah masih mahu menjaga saya. Juga saya memohon agar Alah menjaga sahabat-sahabat saya, kerana saya mencintai mereka kerana Allah..Insya Allah.

Betapa pentingnya peranan seorang sahabat. Benar, saya sangat mengakuinya. Mereka membentuk saya tanpa saya sedar. Kerana itu saya yakin untuk menjadi baik, kita perlu bersahabat dengan mereka yang lebih baik. Supaya hidup kita bermotivasi.Bukan sedikit masalah dalaman saya, jangan lupa saya masih lagi seorang remaja. Saya cepat terpengaruh. Saya sukakan hiburan. Saya menggemari fesyen. Saya mahukan keseronokan. Tipu jika saya katakan yang saya tidak pernah mahu memakai pakaian yang cantik-cantik, dipuji dan menjadi perhatian. Tipu juga jika saya katakan saya suka memakai tudung berbidang besar di awal pemakaian saya, perlu memakai stokin kaki, dan terpaksa lupakan pakaian-pakaian cantik yang kurang sopan yang sehingga kini masih ada dalam almari bilik saya. Dan tipu juga jika saya katakan saya tidak pernah diuji dengan kehadiran lelaki. Saya sama seperti remaja lain. Banyak sekali konflik dalaman yang terpaksa saya atasi dalam mempertahankan agama dan prinsip saya.

Namun alhamdulillah, sekuarang-kurangnya mempunyai sahabat yang baik sedikit sebanyak membantu saya mengharungi segalanya dengan lebih baik. Tanpa sedar mereka mengajar saya untuk mengawal emosi dan kehendak diri sendiri. Saya mula menyayangi diri sendiri. Saya mula faham, kecantikan itu hanya untuk suami. Keseronokan hanya sementara. Maka, di sinilah saya masih berjuang untuk istiqamah, kerana saya tahu istiqamah itu lebih sukar dari membuat perubahan ke arah kebaikan. Saya sentiasa berdoa agar Allah tidak memesongkan hati saya setelah apa yang Allah berikan..amiin.

Kenapa saya menulis ini? Sebab saya mahu setiap mereka yang mahu berubah tahu, setiap perubahan memang perlukan jihad yang besar. Lebih-lebih lagi untuk mengatakan tidak kepada keinginan sendiri. Dan juga betapa seorang sahabat sangat mempengaruhi seseorang seperti dalam hadis di atas. Jika pernah jatuh, masih ada masa untuk bangkit kembali. Jika terlupa, sama-sama mengingatkan. Bergeraklah segera menghampiri hidayah Allah, usahalah, jangan lepaskan ia dan berjuang sehabis mungkin, kerana kita sebenarnya sedang kembali kepada fitrah manusia, menjadi hamba kepada Allah. Carilah sahabat yang memahami perasaan yang mahukan perubahan itu. Insya Allah, Allah akan memudahkan jalan anda dan pertemukan anda dengan sahabat yang akan membantu anda di akhirat kelak..amiin.=)

~Sekadar coretan rasa,
fatin

No comments: