Monday, August 6, 2012

Musafir Ramadhan..Bah 1.

Gambar sekadar hiasan.

Dia terjaga.

"Di mana aku ni?" bisik hatinya. Pemandangan di luar agak asing.

Oh, dia di atas bas ekspres itu. Ingatannya kembali menjengah. Rupa-rupanya dia sedang menuju ke Kuala Lumpur, sendirian.

Dia tersenyum. Lupa pula dengan rancangan sendiri. Rancangan last minitnya, seperti biasa. Dia menggeleng-geleng kepala sendirian.

Semalam dia diserang selsema. Sekarang makin menjadi-jadi. Namun rancangannya tidak mampu ditunda. Malah tidak terfikir pun mahu ditunda. Dia mahu bertemu rakan-rakan yang dirindui.

Cepat benar masa berlalu. Rakan-rakannya ada yang sudah bekerja. Jadi masa bertemu agak terhad. Dia pula jauh di Terengganu. Mahu menggunakan masa yang ada untuk bertemu rakan-rakan, bak kata kawannya, pergi berziarah.

Ya, bulan Ramadhan, bukan sesuai untuk bermusafir. Tapi, kata siapa? Nabi berperang dalam bulan ini. Dengan izin Allah, dia masih punya kekuatan, dia masih punya tenaga. Letih itu perkara biasa. Dan paling penting, dia punya Allah yang menjaganya. Dengan meletakkan keyakinan pada Allah, dia tidak takut lagi.

Cuma kesihatannya agak terganggu, namun itu bukan penghalang juga. Dia yakin Allah akan permudahkan. insyaAllah.

Tidak tergambar di fikirannya pengalaman menarik yang bakal ditempuhinya bersama rakannya nanti di ibu kota itu. Dia bukan musafir biasa, musafirnya membawa agama. Maka kota besar itu, semoga tidak menenggelamkan hikmah Ramadhan buatnya.

Teringat kata-kata yang didengar di IKIM,

"Jadilah seperti mata lebah, walau hanya ada sampah di sekelilingnya, namun dia tetap mencari madu. Jangan jadi seperti mata lalat, walau berterbangan di kebun bunga, matanya tetap mancari sampah,"

Maka dia mahu menjadi mata lebah, walau ke mana dia pergi, hanya kebaikan yang dilihatnya. Semoga Allah sentiasa memelihara.

No comments: