Perjalanan diteruskan. Dia melangkah satu-satu, mencari surau.
Namun kata abangnya, surau jauh di sebelah sana. Sedangkan stesen komuter di sebelah sini.
Dia berfikir sejenak. Beg sandangnya terasa begitu berat. Dia mencari tempat duduk. Alhamdulillah, ada di sebelah tiang itu.
Perlahan-lahan beg sandangnya dilepaskan dari bahu. Barangnya tidak banyak, mungkin jenis beg itu yang berat. Dia duduk melepaskan lelah.
Matanya melilau memandang pelbagai jenis ragam manusia di hadapannya. Kaum cina majoritinya. Sekarang dia berada di centre shopping complex itu. Suasana masih lengang, kedai-kedai banyak masih belum dibuka.
Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Masih awal. Dia menumpang abangnya ke tempat kerja, kebetulan tempat kerja abangnya berdekatan dengan stesen komuter. Dan dia berjanji mahu bertemu sahabatnya di situ. Sahabatnya menaiki komuter dari negeri sembilan, mengambil masa juga perjalanannya.
Dia bersandar di tiang itu. Sedikit penat. Selesemanya masih belum surut. Malah batuk mula menyerang. Semalam satu hari dia atas bas, penat juga. Mujur cuaca tidak panas, malah mendung sahaja sepanjang perjalanan. Bimbang juga kalau di bulan Ramadhan ini cuaca panas terik. Tentu lebih mencabar perjalanannya. Alhamdulillah, Allah mengetahui keadaan hambaNya.
Sampai sahaja semalam, anak-anak saudara yang sudah lama tidak ditemuinya menyambutnya gembira. Seronok sekali bertemu mereka. Malam itu sempat juga dia mengajar si kakak yang sudah berusia 6 tahun menyiapkan kerja sekolahnya. Comel sungguh. Kemudian main-main mak-mak, si kakak menjadi mama, si adik menjadi papa. Dia? memegang watak kakak yang demam.
"Abang, kakak demam ni, abang pergi beli ubat," kata mama kepada papa.
Papa hanya buat tidak tahu. Mama merungut tidak puas hati.
"Kejap ye kakak, nanti mama pergi hospital ambik ubat," lantas mama turun dari katil, membonceng basikal roda tiga papa keluar dari bilik. Dia hanya memandang tersenyum. Comel ya anak-anak ni.
Lamunannya terhenti. Dia memandang jam, sudah pukul 10 lebih. Dia bangun, mahu berjalan-jalan sebentar. Menghabiskan masa 'window shopping' sementara menunggu ketibaan sahabatnya.
Dia tidak biasa menaiki komuter. Ya, kerana dahulu dia biasa memandu kereta. Dan jarang keluar sendirian melainkan ada teman sebagai penunjuk arah. Tetapi dia tidak kisah, malah berasa teruja. Kali ini, dia menjadi pelancong yang akan menggunakan segala kemudahan awam yang ada. Ini pengalaman yang menarik di bulan Ramadhan. Melatih kesabaran dan menguji ketabahan. Dia gembira sendiri.
Dia membelek-belek telefon bimbitnya. Ada masa terluang lagi sementara menanti sahabatnya. Lantas dibuka iQuran, dibacanya perlahan-lahan. Ramadhan harus dimanfaatkan. Bukan tidak ada Qur'an di dalam begnya, namun ternyata dia segan untuk membukanya di tempat umum. Segan pada siapa dia sendiri tidak tahu. Seungguh dia kesal dengan diri sendiri kerana segan tidak bertempat. Astagfirullahal'azim.
Tidak lama kemudian sahabatnya tiba. Maka bermulalah pengembaraan mereka berdua di bulan penuh barakah ini!
No comments:
Post a Comment