Wednesday, August 8, 2012

Musafir Ramadhan..Bah 3 ~ Iktikaf

Mereka melangkah pantas menujun ke bas rapidKL yang sudah sedia menunggu. Jika lewat mereka harus menunggu lagi. Kelihatannya bas itu belum bergerak, justeru itu mereka melangkah dengan senang hati.

Sebentar tadi mereka bertukar 'train' di stesen kl sentral. Dari komuter kepada LRT. Namun sungguh tidak terasa penat. Dek kerana lama tidak bertemu, segala masa yang ada dihabiskan untuk bertukar cerita dan bertanya khabar. Terasa masa berlalu dengan pantas. Sedar-sedar sudah di atas bas.

Sahabatnya Farah, juga sepertinya. Sedang menunggu masa untuk sama-sama melanjutkan pelajaran. Jika ada rezeki, insyaAllah mereka akan belajar ke peringkat seterusnya. Itupun jika mendapat jawapan dari pihak universiti. Buat masa ini mereka masih menunggu.

Bas itu bergerak melepasi post pengawal di pintu masuk. 'Pak Guard', nama panggilan buat pengawal-pengawal yang bertugas di pintu masuk, hanya melihat dari luar bas. Bas itu tidak pula ditahan seperti kebiasaan.

Namun mereka sudah pun bersedia dengan matric card masing-masing di tangan.

"Uia," detik dia di hati. Tempat yang penuh kenangan. Tempat yang mendewasakan dan mematangkan dengan segenap ujian. Sungguh dia sayang tempat belajarnya ini. Kini dia kembali untuk kesekian kalinya.

"Malam ni kita nak tidur mana?" dia bertanya sahabatnya. Rancangan mereka masih belum kemas.

"Kita iktikaf kat masjid uia nak?" sahabatnya membalas, tersenyum.

"Boleh-boleh," dia membalas pantas, tersenyum juga. Teringat kenangan dahulu sewaktu mengikuti usrah, dia pernah juga ber'iktikaf' di masjid uia. Juga sewaktu bulan Ramadhan seperti ini. Hatinya teruja.

"Nanti kita tumpang bilik Kak Zi, tinggal barang, siap-siap dan kemudian baru ke masjid," Farah menyambung.

Dia hanya mengangguk-angguk tanda setuju. Dia serasi sekali dengan sahabatnya ini. Mereka satu kepala. Jenis tidak kisah untuk mencuba sesuatu yang baru. Hatinya berbunga girang. Bolehlah dia menyambung bacaan Al-Qurannya yang sedikit tertangguh dengan perjalanan yang jauh.

Dari salah satu perhentian bas di dalam Uia, mereka melangkah laju ke mahallah (hostel) perempuan. Farah membawa beg baju dan beg sandang laptopnya.

"Rajin pulak dia ni bawa laptop," bisik hatinya, tersengih sendiri. Bolehla dia menumpang.

Sambil berjalan mereka berkongsi cerita. Tidak terasa penat, kaki melangkah tanpa mengikut arahan. Sedar-sedar sudah sampai ke bilik Kak Zi. Kebetulan Kak Zi ada, lalu mereka bertukar-tukar cerita pula dengan Kak Zi. Kak Zi akan melangsungkan perkhwinan dalam masa terdekat. Banyak pula yang ingin didengarnya.

Waktu itu, dia berasakan badannya mula lain. Sedikit sejuk, dan tidak selesa. Mungkin dia sudah diserang demam. Sepanjang perjalanan dia selesema dan batuk-batuk, namun dia tidak perasan semua itu. Terlebih teruja agaknya.

Lalu dia minta izin untuk menyiapkan diri.

Selesai solat zohor, dia dan Farah ada rancangan lain pula. Mahu ke kedai membeli sedikit barangan. Kedai itu di luar uia, jadi mereka menaiki teksi. Selesai membeli barang yang diperlukan, satu hal pula mahu mencari teksi untuk pulang ke uia. Kawasan itu agak sukar untuk mencari bas dan teksi. Kebetulan sudah lewat petang, cuma dalam satu jam sebelum waktu berbuka masuk.

Dia membaca "Ya Razzaq" berulang kali di dalam hati, semoga Allah memudahkan rezeki untuk mereka mendapatkan teksi.

bersambung..

* Gambar ihsan google.

No comments: