Wednesday, July 25, 2012

Hidup kita novel kita

Assalamualaikum..

Saya adalah pembaca novel. Ya novel melayu sahaja. Novel bahasa inggeris hanya kadang-kadang sebab tu grammar saya masih tunggang langgang. hehe. Dari kecil saya memang suka membaca, koleksi buku saya boleh tahan banyaknya. Saya masih ingat sewaktu saya dalam usia 10 tahun, saya sudah mampu memberi sewa kepada rakan-rakan yang ingin meminjam buku saya.

Baiklah, bukan itu sebenarnya point saya. Sebagai seorang pembaca buku, saya juga membaca pelbagai jenis novel. Semasa meningkat remaja, novel cinta pun saya rajin pinjam daripada sepupu. Mahu beli saya sayang duit. hehe. Koleksi sepupu saya boleh tahan banyaknya.

Pelbagai jenis novel yang saya baca. Tapi saya sudah lupa tajuk-tajuknya. Namun saya rasa ada yang 'kurang' apabila disajikan novel cinta yang hanya berkisar cinta dan perasaan. Pergaulan yang agak bebas antara hero dan heroin membuatkan saya terfikir panjang. Ini ke cinta yang dijaja remaja?

Lalu sehinggalah saya dipertemukan dengan novel 'Tautan Hati' karangan kak Fatimah Syarha, saya seakan-akan terbuka minda. Novel yang digarap penuh islamik, dan konsep cinta berlandaskan agama membuatkan saya mula tertarik. Maka saya mula membuat perbezaan antara novel cinta yang biasa dan novel yang punya 'jiwa' ini.

Sejak itu saya mula dekati novel bercirikan Islamik pula. Dan saya dapati ada perbezaan yang ketara antara mereka. Dari segi jalan cerita, pembawakan watak, perbezaan cara berfikir, konteks idea, kebanyakannya berbeza antara novel biasa dan novel islamik.

Novel biasa kebisaannya penuh dengan pengisian perasaan yang terbuai-buai, cinta yang setia, emosi yang tidak stabil dan sebagainya. Penumpuan yang lebih diberikan kepada aspek cinta itu sendiri, namun saya tidak menolak ada pengajaran yang boleh diambil. Cuma saya tidak senang apabila disogokkan dengan kisah cinta tiada sempadan antara hero dan heroin dengan gambaran keluar berdua-dua, berpegangan tangan, atau aspek penutupan aurat yang tidak dititik beratkan. Itulah yang menjadi racun kepada pemikiran kebanyakan remaja.

(Ini novel yng difilemkan)


Novel berjiwa Islam pula kebanyakannya hero dan heroinnya lebih bersikap matang dan pandai membawa diri. Ada batasan yang dijaga, dan pengisian juga sarat dengan mesej Islamik yang disantaikan dengan bahasa mudah. Juga pengisian novel diselang selikan dengan cinta kepada Tuhan, dan bagaimana pergantungan kepada Tuhan menjadi sumber kekuatan wataknya.

Namun begitu, saya tidak katakan novel Islamik ini sempurna. Masih ada kurangnya, namun saya lihat novel Islamik lebih dekat dengan jiwa saya. Saya rasa lebih teruja apabila diberi kefahaman tentang erti cinta menurut Islam. Apabila saya membaca kedua-dua jenis novel ini, saya mula nampak perbezaan watak dan perkembangan cerita antara novel biasa dan novel Islamik.


Justeru itu, saya mula berpendapat, hidup kita ini sebenarnya adalah seperti sebuah novel. Kita heronya, atau kitalah heroinnya. Setiap watak pembantu adalah mereka yang di sekeliling kita. Maka, apa yang cuba saya sampaikan?

Hidup kita, kitalah yang mencorakkannya. Mahu jalan cerita yang biasa-biasa atau mahu jalan cerita yang bercirikan Islam. Pilihan sebenarnya di tangan kita..Tanyakan ini kepada diri, kita mahu novel yang bagaimana?

Kita mungkin tidak dapat mengawal jalan cerita secara sempurna, ditambah pula dengan masalah-masalah yang timbul yang di luar kawalan kita, namun kita mampu mengawal keinginan dan cara pemikiran kita supaya sentiasa di atas jalannya. Sekurang-kurangnya kita mampu mengawal batas-batas pergaulan dengan mengambil sedikit iktibar dari novel-novel bercirikan Islamik ini.

Maka adalah pilihan kita, mahu bercinta seperti watak dalam novel biasa, atau bercinta seperti watak dalam novel islamik? Percayalah, ada perbezaannya. Apabila minda terbuka, baik buruk juga semakin jelas untuk kita. Perlu ada pertimbangan yang wajar dan lihat perbezaan antara novel-novel tersebut. Semoga kita sentiasa berada di atas jalan yang benar. amiiin..

Mari berfikir.

Tg. Fatin..=)

No comments: