Wednesday, July 4, 2012

Bertudung, terpaksa atau dipaksa?

Assalamualaikum..

Saya masih ingat, sewaktu kecil, umur dalam lebih kurang 8 tahun, ada satu peristiwa yang saya masih terkenang-kenang.

Waktu itu, saya bertudung ke sekolah, sewaktu masih ramai kawan sebaya yang tidak bertudung. Semuanya kerana ummi saya yang suruh.

Waktu itu kelas pendidikan seni. Ada seorang cikgu lelaki yang hensem, cikgu ganti kalau tak silap. Pelajaran pada waktu itu adalah untuk mewarnakan luksan menggunakan water color. Saya sangat gembira kerana seni adalah cabang minat saya.

Namun malang tidak berbau, water color yang saya buka penutupnya, tumpah habis di atas tudung saya. Saya terkejut, tudung saya sudah dipenuhi tompok-tompok warna yang pekat.

Saya agak panik. Dalam usia 8 tahun, apalah sangat yang mampu saya fikir. Cikgu hensem itu juga kelihatan panik. Cikgu itu meminta saya pergi ke bilik air untuk membasuh tudung saya.

Setelah dicuci berkali-kali, warna yang pekat itu masih belum luntur. Ah sudah, saya mula rasa nak menangis. Tudung sekolah itu sudah basah, memang tidak mampu dipakai lagi. Saya kekeringan idea.

"Tak payahla pakai tudung hari ni," dengan selamba kawan saya berkata. Mudah untuk dia berkata sebab dia juga tidak bertudung.

Saya sebak di dada. Secara logiknya umur 8 tahun, bukannya apa-apa untuk tidak bertudung. Tapi saya rasa malu yang amat. Mungkin sebab saya tidak pernah tidak bertudung di sekolah sejak tadika lagi.

Lalu kami pulang ke kelas dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Cikgu hensem pun tak berkata apa-apa. Tiada siapa yang memerhati saya, tiada siapa peduli saya tidak bertudung hari itu. Tapi saya sangat malu, rasa malu sendiri. Rasa sudah melakukan sesuatu yang luar biasa.

Waktu balik, saya melalu jalan belakang kelas, menunggu pak cik driver datang mengambil. Bahagian belakang itu biasanya tak ramai pun yang menunggu, jadi kurang sikit rasa malu. Itu pun bersembunyi di sebalik pokok. Terjenguk-jenguk mengintai pak cik sudah sampai belum. Dan akhirnya abang yang datang mencari saya di situ.

Lega untuk hari itu. Saya ingat itu cuma perkara biasa, sekadar memori kanak-kanak. Namun peristiwa itu terus melekat dalam fikiran saya sampai ke hari ini. Rupanya ada suatu pengajaran di situ.

Cantiklah baju budak ni..copy dari sini..=)

Bertudung, saya bertudung waktu itu kerana ummi saya paksa. Kalau ikutkan hati memang saya tak pakai pun tudung ke sekolah masa tu. Orang lain mana ada pakai tudung. Tapi sebab ummi dah biasakan saya dengan pakaian sebegitu sejak tadika lagi, saya jadi aneh bila saya terpaksa tidak bertudung. Rasa malu itu datang tiba-tiba.

Pengajaran yang memberi impak yang besar dalam diri saya. Kini saya berterima kasih pada ummi saya kerana memaksa saya suatu masa dahulu. Tanpa paksaan itu, mungkin saya masih lagi liat untuk bertudung.

Saya akhirnya rela dalam keterpaksaan itu. Sebab itu saya tidak gembira apabila ada ibu bapa yang mengatakan kepada anak gadis,

"ala takpe, kecil lagi, nanti dah besar dia pakailah tudung,"

Kerana saya rasa tidak mudah untuk seorang remaja untuk tiba-tiba bertudung tanpa ada sebarang bentuk didikan atau latihan dari kecil. Kebiasaan tidak bertudung itu bakal menimbulkan konflik dan juga pemberontakan jiwa. Lebih-lebih lagi di zaman ini.

Ini sekadar pendapat saya. Memang sukar menyelami jiwa remaja. Saya juga remaja dan saya juga kadang-kadang tidak faham dengan diri sendiri.

Cuma yang saya tahu, dalam keterpaksaan itu, ada kesedaran yang timbul. Dan kesedaran itu sebagai titik tolak untuk saya mencari kefahaman kenapa perlu menutup aurat.

Oki Sentiana Dewi

Teringat kata-kata Ustaz Azhar yang lebih kurang begini bunyinya,

"Tidak wajib bertudung, tapi wajib menutup aurat,"

Betullah tu, kalau bertudung tapi nampak leher, tidak betul juga.
Jika bertudung tapi baju ketat, itu juga salah.

Menutup aurat itu indah sebenarnya, jika kita faham kebaikannya untuk diri kita.

Maka bagi saya perlu juga kita memaksa diri kita untuk melakukan kehendak agama, kerana segalanya bersebab. Sebabnya itulah, yang perlu kita sama-sama selidiki. Kenapa dan mengapa, perlu kita cari..Sekarang kan ilmu di hujung jari.=)

Beginilah, setelah kita berjaya mengajar diri untuk bertudung, ajar pula diri untuk menutup aurat. Seterusnya teruskan pula untuk menutup dengan lebih sempurna. Step by step. Tidak salah perlahan-lahan, yang salahnya bila tidak mahu langsung melakukan perubahan.

Dan paling penting, dalam masa yang sama, pastikan hati juga sama bertudung. Hati juga perlu bersih. Biar seiring sejalan, dalam luar sama-sama penting. Cukup sudah kata-kata,

"Tutup aurat, tapi hati jahat buat apa,"

"Saya tak bertudung, tapi hati saya baik,"

Semuanya tidak lain hanya mahu menyedapkan hati sendiri. Tutup aurat, wajib. Jaga hati, juga wajib. Sama penting. Fokuskan pada kedua-duanya..Insya Allah cantiklah diri kita luar dan dalam.

Ini sekadar perkongsian pendapat. Sama-sama kita berusaha. Usaha itu suatu perjalanan yang panjang. Mahu atau tidak, itu persoalannya.

Dan sebetulnya, Allah sebaik-baik penilai.=)

Wallahua'alam..

No comments: