Saturday, March 24, 2012

Allah tu ada..!..Bah.4

Allah itu ada!..Bah 1
Allah itu ada!..Bah 2
Allah itu ada!..Bah 3

Allah Itu ada, dan Dia maha Memahami..

Sambil bersantai membaca buku di restoran kyros kebab (yang dah bertukar kepada restoran lain), saya menikmati pemandangan indah UIA yang hampir 6 bulan ditinggalkan..Sungguh saya rindu, banyak perubahan yang berlaku. Suasana ketika itu tidak sibuk, hanya ada 2-3 orang yang sedang berbincang tentang assignment agaknya.

Waktu itu hujan renyai-renyai, angin berhembus tenang dan suasana yang sejuk begitu mendamaikan..Tengahari itu, saya merasakan suatu perasaan yang sangat indah. Terasa bebanan yang dipikul selama ini, sudah dibawa pergi oleh angin sejuk yang bertiup..4 tahun menghabiskan masa di UIA, memberi berjuta kenangan, lebih-lebih lagi kepada saya yang agak sentimental ini..=)

Petang itu, kami berbicara tentang pelbagai perkara. Topik menarik juga, tentang kehidupan, perasaan dan rumahtangga. Nampaknya kami sudah cukup dewasa untuk membincangkan topik ini..Dalam hati saya, ada satu ketenangan. Hati berbunga riang. Saya tersenyum sendiri. Alhamdulillah, Allah itu tahu yang terbaik untuk hambaNya.

Banyak yang kami kongsikan. Suka duka kehidupan. Kenangan yang menjadi memori terindah, juga tentang masa hadapan. Tidak lama kami di situ, apabila hujan semakin surut, kami mengambil keputusan untuk berjalan pulang ke bilik.

"Awak tahu," Saya memecah kesunyian.

"Saya pernah diuji dengan ujian yang tak pernah saya sangka." Saya berhenti seketika. Mengimbau ujian yang pernah hadir menyapa diri saya.

"Dan waktu itu, saya memang tak dapat kawal diri, saya rasa saya menjadi sangat teruk," saya masih tidak berhenti bercerita. Berbulan-bulan tidak bertemu, banyak benar cerita yang tersimpan dan mahu diluahkan.

Sahabat saya hanya mendengar. Kami sedang menyusuri tasik sambil menikmati keindahannya.

"Disebabkan ia melibatkan orang sekeliling saya, saya benar-benar tertekan. Dan sakitnya hanya Tuhan yang tahu," Saya berhenti seketika, menarik nafas. Penat juga bercerita sambil berjalan begini.

"Semuanya kerana saya punya ego. Masih ada rasa sakit hati dan banyak pulak perasaan negatif yang muncul. Saya cuba lari dari masalah tu, tapi saya tahu masalah tu takkan selesai semudah tu. Saya siap merancang sesuatu yg x masuk akal, tapi bersyukur sangat Allah masih memelihara saya.." Saya beristighfar dalam hati, mengingatkn kembali kesakitan melawan diri sendiri ketika itu.

"Saya tidak putus berdoa, Ya Allah, tolonglah lembutkan hatiku yang sedang sakit ini dan kurniakanlah kekuatan untuk aku menghadapi semua ini,"

"Waktu itu saya sangat takut, takut saya hilang pertimbangan.. Saya takut saya yang selama ini mahu berubah, kini melakukan sesuatu yang Allah tak suka, yang Allah murka. Jadi sia-sia usaha dan pengorbanan saya selama ini yang mahu menjadi baik."

Tapi itulah, bila hati marah, syaitan akan mudah masuk dan menghasut. Saya sedar tu. Cuma untuk mengawalnya, sangatlah susah."

Saya memandang ke tasik di sebelah kanan saya. Tenang saja airnya mengalir. Setenang hati saya sekarang.

"Jadi saya pohon betul-betul dengan Allah. Ya Allah, bantulah aku melepasi ujian ini. Saya fikir, jika saya berjaya lepas ujian ni, hanya dua pilihan yang saya akan saya terima. Sama ada Allah semakin sayang, atau Allah akan benci. Nauzubillahiminzalik, saya tak nak Allah benci saya. Saya masih sanggup dibenci manusia, tapi bukan dibenci Allah."

Kawan saya mencelah apabila saya menarik nafas, "Betul dah tu, kalau Allah benci, nak lari ke mana lagi kita. Dunia tak selamat, akhirat lagi lah, kan," sahabat saya teranguk-angguk bersetuju.

"Itulah, saya tak sanggup sangat kalau Allah benci. Jadi saya nekad untuk lawan ego saya, dan saya betul-betul lakukan ini untuk Allah. Semata-mata untuk Allah. Saya tak kisah apa orang nak cakap, yang penting, Allah tahu apa saya buat."

Kawan saya terangguk-angguk lagi.

"Saya nekad untuk membuang ego dan melawan diri sendiri. Dan alhamdulillah, rupanya Allah itu maha penyayang awak.."

"Setelah saya mendapat kekuatan dan nekad untuk membunuh ego saya, alhamdulillah, saya dapat rasakan ketenangan itu. Dan, subhanallah, tanpa disangka, pada petang tu juga, Allah hadiahkan saya sesuatu yang sangat berharga dalam hidup saya. Maha suci Allah yang maha mengerti, maha penyayang." Saya tersenyum. Ada bunga-bunga dalam hati.

Kawan saya tersenyum juga. "Subhanallah," terkeluar itu dari mulutnya. Dia mengerti apa yang saya maksudkan.

"Yang penting, kita perlu yakin, sentiasa yakin yang Allah sentiasa ada untuk kita. Dia melihat usaha kita, Dia menilai tindak tanduk kita. Dan Dia sentiasa merancang yang terbaik untuk kita..Kita hanya perlu sabar, bersyukur dan redha dengan segala ujianNya..Insya Allah, kita tak dapat bayangkan nikmat yang telah Allah sediakan untuk hamba-hambaNya yang bersabar." Saya tersenyum puas. Lega dan bersyukur, semua ujian ini benar-benar menambahkan keyakinan saya bahawa:

Allah sentiasa ada!

Allah itu ada..!..Bah.3

Lama pulak ambik masa nak sambung cerita ni.hehe..cerita ini sebahagiaan dari kenangan saya, yg mahu saya abadikan dalam bentuk tulisan..best jugak menulis macam ni.=)

.........................................................................

Allah itu ada!..Bah 1
Allah itu ada!..Bah 2

Saya bersiap-siap mahu ke centre UIA. Hajat di hati, mahu singgah di Department ICT untuk menyelesaikan urusan dan berjumpa lecturer, tapi terlupa pulak semuanya sudah berpindah ke bangunan baru di atas bukit itu. Jauh pula, saya membatalkan niat itu. Sekadar menapak ke Finance Department untuk menyelesaikan urusan.

Satu hari itu, saya hanya bersia-siar di sekitar UIA. Menghabiskan masa membeli buku-buku di 'Halal Fair'; banyak juga dijual home made chocolate, buku-buku ilmiah, juga pakaian-pakaian wanita. UIA memang selalu meriah dengan pelbagai karnival. Memandangkan itu hari jumaat, tidak ramai lelaki yang berkeliaran..waktu zohor juga sudah tiba.

Tapi ada sedikit kecewa yang mengundang, bila lihat masih ada peniaga lelaki yang masih tak meninggalkan perniagaan mereka walaupun jelas kedengaran di masjid imam sedang berkhutbah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila telah diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Al-Jumu'ah: 9)

Mungkin di lain masa mereka patut membawa pekerja perempuan untuk menjaga gerai mereka sewaktu mereka menunaikan solat Jumaat. Hmm,saya pun membatalkan niat untuk membeli, takut juga dikira bersubahat.=)

Hari itu merupakan satu hari yang tenang dan damai. Sungguh rindu pasa suasana ini, melihat pelajar-pelajar ke sana ke mari, mengingatkan saya pada kenangan saya. Ya, saya juga pernah begitu. Menjadi pelajar yang sibuk dengan pelbagai urusan, benar-benar memberi saya seribu makna..

Sungguh, saya sayang pada tempat ini. Hari itu berakhir dengan baik, dan saya pun menunggu kawan saya pulang dari pejabatnya. Bertemu kawan-kawan yang mengharungi segalanya bersama, membuatkan saya sangat gembira. Alhamdulillah.

......................................................................

Keesokannya, saya sekali lagi menuju ke Halal Fair itu. Kali ini bersama seorang sahabat saya. Ah, lama sudah tidak keluar bersama sahabat begini..sangat seronok rasanya.

Bersambung..

Monday, March 12, 2012

Ummi~

"Ummi," Terdetik di hati saya.

"Ummi buat apa di sini? Bukan ummi dah "pergi" ke?"

Saya pandang wajah ummi. Ummi juga memandang saya, dengan satu pandangan yang sukar ditafsirkan. Air mukanya tenang.

"Ummi, macam mana ada kat sini?" saya masih melontarkan soalan demi soalan. Mustahil, bagaimana mungkin Ummi ada di sini.

"Ummi, hidup semula?" bisik hati saya kehairanan.

Ummi tersenyum. Kami berada di sebuah tempat yang saya tak pasti di mana.

Saya masih belum puas hati. Keadaan waktu itu benar-benar menghairankan saya. Diri saya dipenuhi persoalan.

"Ummi, macam mana perasaan ada di alam sana?" saya masih bertanya, cuba mendapatkan pengalaman ummi. Ya, sejak kebelakangan ini, saya terfikir bagaimana agaknya alam itu. Alam yang pasti dilalui setiap manusia. Dan saya pasti ummi tahu bagaimana.

Perlahan-lahan ummi menjawab,"ok je, luas kat sini," sambil tersenyum.

"Tapi, lama dah ummi kat sana,"

"Lama tu bagi perkiraan manusia di dunia, tapi ummi rasa macam mimpi..sekejap je,"

Saya terkesima. Betul ke? Tapi Ummi dah hampir 4 tahun di alam sana. Yang saya rasa agak lama.

Kemudian tanpa disedari, saya memeluk Ummi. Erat, terasa hangat badannya. Saya bisik di telinganya, perlahan.

"Ummi, tunggu jie di syurga ya,"

Saya pandang ummi, ummi hanya tenang seperti biasa.

Kemudian kami berjalan-jalan di tempat itu. Bertemu kawan-kawan ummi, semua kehairanan. Macam mana Ummi boleh hidup semula?

....................................

Saya terjaga dari tidur. "Ya Allah,"

Mimpi apakah ini? Subhanallah, mimpi itu terasa sangat benar. Rasa Ummi benar-benar hidup semula. Subhanallah.

Saya ambil buku di sebelah tempat tidur saya. Buku yang baru saya beli, "Indahnya Kematian". Mungkin ini sebabnya, ummi muncul dalam mimpi saya. Subhanallah.

Walau apa pun penafsiran mimpi tersebut, saya rasa cukup bahagia walau sekejap cuma. Ummi mungkin tiada di alam ini, namun ummi sentiasa hidup di dalam hati saya.

Semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmati ummi di sana. Dan saya mahu jadi anak soleh supaya doa saya sampai kepada Ummi..Insya Allah. Doakan saya juga.=)

....................................

*Insya Allah nanti sambung Allah itu ada!...bah..3.

Friday, March 9, 2012

Allah itu ada!..=)..Bah. 2

Allah itu ada!..Bahagian 1

Saya ke KL tanpa perancangan yang rapi. Ye lah, last minute. Esok nak pergi, baru buat kata putus malam ni. Tapi, Allah gerakkan hati saya begitu, mungkin ada hikmahnya?

Untuk jangka masa pendek tu, rancangan saya pun ringkas saja. Saya minta kawan saya yang berpraktikal di KLCC itu, tunggu saya di perhentian greenwood apabila pulang dari pejabatnya. Dia akan ambil bas ke greenwood dari tempat kerjanya, dan pulang ke UIA bersama saya menaiki teksi.

Dan petang itu, lebih kurang pukul 5 lebih, saya berjalan kaki dari perhentian bas atas sebelah highway ke perhentian bas di bawah, yg jaraknya boleh tahan jauh jugak. "Bas ni berhenti kat atas pulak", ada juga rungutan dalam hati saya tu. Hehe. Tapi memandangkan itu waktu petang, saya bertawakal sepenuhnya. Semoga tiada gangguan.

Sewaktu berjalan seorang diri dari perhentian atas ke perhentian bawah, seorang lelaki berusia lebih kurang 30-an menyapa saya.

"Mek, baru sampai?"sambil tersenyum-senyum.

Saya memandangnya sekilas. Dengan berat hati, saya mengangguk dan berwajah serius. Menunjukkan muka tidak senang diganggu. Saya segera melangkah laju menuju ke perhentian bas itu tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Dalam hati hanya mahu cepat sampai di situ dan menunggu kawan saya.

Teringat pula cerita-cerita Melayu yang sering disiarkan di kaca televisyen. Watak perempuan kampung berbaju kurung baru tiba dari kampung, kelihatan lurus dan bendul sehingga mudah ditipu.

"Ya Allah, lindungi aku."

Mujur juga saya memakai baju T-shirt labuh dan berseluar, lari sikit dari watak sterotaip "gadis kampung yg lurus" yang suka memakai baju kurung dan menggalas beg pakaian. Saya hanya membawa beg sandang dan cuba melangkah yakin, seolah-olah mengatakan, "Saya dah biasa dgn tempat ni, nak takut ape". Ya, Sekali lagi, "Allah bersama saya," terus saya sematkan di hati.

Lebih sejam jugalah saya menunggu. Bimbang juga, perhentian bas di sini bukannya selamat sangat. Kuala Lumpur, penuh dengan warna-warni kehidupan, pelbagai ragam manusia dengan seribu tipu muslihat. Saya maklum itu. Tapi sungguh, tiada rasa sekelumit marah. Tenang-tenang saja. Allah ada bersama saya. Rasa selamat di bawah jagaan Allah..Benar, saya yang dahulunya selalu takut-takut, kini rasa tenang kerana yakin Allah ada bersama menjaga saya.Subhanallah. Allah memang sebaik-baik penjaga.

Dan ternyata, alhamdulillah, segalanya benar-benar dipermudahkan. Perjalanan yang tidak dirancang oleh saya ini rupanya sudah dirancang baik oleh Allah. Setibanya kawan saya di perhentian bas itu untuk menyambut saya, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah yang melindungi perjalanan saya. Kami kemudiannya mengambil teksi pulang ke UIA.

.................................................


Pagi Jumaat itu, saya bersendirian di dalam bilik kawan. Saya tumpang biliknya untuk sementara. Bilik yang pernah menjadi bilik saya suatu masa dahulu. Ah, banyak kenangan di sini. Rindu menerpa.

Sepergian kawan saya ke tempat kerjanya, saya pula bersiap untuk menyelesaikan urusan saya di UIA. Sebelum itu, saya membuka email. Ada email dari Dr Sakib, supervisor saya untuk Industrial Attachment di semester terakhir ini.

"The evaluation file is already submitted to the department and the IA coordinator is supposed to upload the marks. As the marks are counted, it seems that you will insha-Allah get an 'A'. This achievement is based on your performance evaluated by the company supervisor and what I understood. So, you have earned it. Carry on with your future works sincerely."

Subhanallah. Bersyukur dengan segala kurniaanNya.. Ya Allah, selesai sudah perjuangan saya di bumi UIA ini. Alhamdulillah3..=)

Bersambung..

Allah itu ada.! =)..Bah.1

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, saya sekali lagi menjejakkan kaki ke UIA tercinta. Kedatangan ke UIA kali ini langsung tidak dirancang.

Masih saya ingat, petang rabu itu, terdetik di hati, mahu pergi ke UIA. Ada urusan yang perlu diselesaikan, dan saya juga mahu bertemu dengan kawan-kawan yang sangat dirindui. Rasa lama sangat tidak bertemu. Tapi, abah bagi ke? Sebabnya dalam kepala saya, saya nak pergi esok terus. Hmm, saya suka buat keputusan mengejut macam ni. Usai solat asar, saya meluahkan rasa itu kepada abah.

"Abah, jie nak pergi esoklah kl. Esok pagi. Sebab jumaat nak pergi office"

"okay, nanti abah beli tiket tu malam ni. Nak balik bila?"

Tersentak juga saya, "abah bagi?"*dalam hati. Ye lah, kalau kira, ni memang perancangan last minute, sporting pulak abah ni. "Ish, abah ni tak bimbang langsung ke?" terdetik juga di hati saya. Hehe, Abah memang tak suka banyak soal. Saya pula yang geram. Tapi saya tahu abah letakkan kepercayaan penuh kepada saya. Insya Allah saya tak akan sia-siakan kepercayaan tu. Rasa gembira mula menyelinap dalam hati.

Walaupun sebenarnya saya bimbang juga, saya ni bukannya ade yang akan menyambut saya di KL. Ye lah, dulu ada kereta, kawan-kawan boleh tolong ambikkan. Sekarang, saya perlu berdikari sikit, tapi sikit je lah. Saya pulak bukan biasa naik teksi balik ke UIA, seorang diri pulak tu..Memang taklah kan. Seberani saya, masih memikirkan baik buruk keadaan. No-no, saya berprasangka untuk keselamatan diri juga. "Tapi ya Allah, mudahkan segalanya untukku," hanya itu doa yang saya pohon sepanjang perjalanan. Benar-benar bertawakal kepadaNya.

Sebelum perjalanan, saya berdoa semoga Allah memelihara saya dari sebarang gangguan. Fikir balik, hmm, betul ke apa yang aku buat ni..perancangan pun tak kemas, nak balik nanti siapa nak hantar? Apapun, saya memohon Allah permudahkan, dan minta Allah tolong rancangkan untuk saya.Sebelum bertolak, saya menunaikan solat sunat musafir berserta solat hajat, pohon perlindungan dari Allah. Doa saya,

" Ya Allah, Engkau mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi, Engkau mengetahui setiap yang ada dalam hati makhlukMu..Jauhkanlah aku dari sebarang niat jahat hambaMu,dan jika ada yang berniat jahat kepadaku, pesongkanlah niat itu dan halangilah mereka dari melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapku. Sesungguhnya hanya kepadaMu tempat ku berlindung."

Sepanjang perjalanan, ingatan saya hanya pada Allah..Saya tahu Allah berkuasa melakukan apa saja, jika ditakdirkan sesuatu berlaku, itu adalah kehendak Allah, dan semuanya di bawah pengetahuan Allah. Jika saya ini seorang yang memang "outgoing", saya tak bimbang sangat. Cuma saya tahu saya ini seorang yang memang penakut. Tapi Insya Allah sekarang tak takut dah, sebab Allah kan ada.=)

Bersambung..