Saturday, November 7, 2015

Pantang

Assalamualaikum..

Bersiaran lagi kita hari ni..ah lega, tadi bangun agak lewat, dalam pukul 8 lebih sebab semalam kan dua kali duk panaskan tungku sebab ada peluang nak bertungku tu, baik gunakan sebaik mungkin..jadi tidur pun lewatlah, pulak tu tidur pun sekejap2 bangun buat susu abang kemudian menyusu adik..

Kenapa bersungguh sangat ni bertungku bagai..makan ubat dah lah kan..entahlah, rajin pulak nak bertungku sebab dengan haba panas tu boleh cepat kecutkan peranakan..jadi cepatlah sikit sihatnya..kata orang2 tua lah..guna pulak batu sungai yang asli, nyaman je rasa bila bertungku sebab orang lepas bersalin badan jadi sejuk sebab urat2 semua kembang sebab meneran kuat sangat kan..kata pula tuk bidan..orang berpengalaman ni lain sikit cakapnya sebab mereka dah hidup lama lagi dari kita.

Rupa2nya kan peranakan kita tu luka lepas bersalin..ahaha apa ni anak dua baru tahu..ingatkan bila dah keluar baby just nak kecutkan peranakan saja, rupanya kena pantang2 makan tu sebab nak bagi cepat baik lukalah tu..sebab tu x bagi makan yang bisa2..luka dalam perut (peranakan) susah nk baik kalau tak jaga betul2..

Kata orang tua, masa sekarang ni tak rasa sakit apa lagi..nanti dah menjengah umur 30 an baru rasa sakit2 urat dan lenguh badan..nanti cepat nampak tua jugak..haa macam mana saya tak percaya, sebab mereka2 ni dah pun alaminya..jadi saya risaulah kalau sakit urat nanti sebab baru ni masa mengurut pun urat dah tegang, sakit!

oh ye..bukan nak cerita pasal pantang pun sebenarnya..nampak sangat banyak cerita dalam kepala..

Pagi ni bangun je tidur terus fikir nak buat apa dulu..nanti kalau budak2 ni bangun tak menyempatlah nak buat ape2..terus panaskan air kat dapur nak mandi..sambil menunggu tu angkut kain dulu letak dalam mesin..

kemudian pilih2 baju kat ampaian, ah sudah dengar suara abang dah bangun..ok abang wafiy.hukhuk..masa untuk mandi..mandikan dia, berendam sekejap sebab dia demam..bagi turun suhu.

Kemudian, siapkan pakai baju semua, waa baby princess pulak bangun..dah kena menyusu dan burp kan, kemudian siapkan air mandi, panaskan air lagi sebab baby dah kena salin pampers baik mandikan terus..

ok buat susu untuk abang dulu, then ambik adik pergi mandikan..siap mandi pakaikan baju semua, menyusu lagi..hoho tengok jam, apa ni! dah pukul 10..kenapa cepat sangat masa berlalu..patut lapar semacam..huhu terpaksa tingalkan baby sekejap, panaskan nasi goreng semalam dan goreng telur sebab hajat nak suapkan abg wafiy sekali..terpaksa bawak masuk bilik sebab nak menyusu lagi..adoi..makan sambil menyusu la jawabnya..

kemudian, wah abang wafiy nak perhatian pulak..layanlah sekejap..adik dah tidur..abang wafiy tak makan pun..ah dia berak pulak..salin lagi..dalam kepala rasa nak baring jeee..

lepas salin gi ambik baju, sempatblagi panaskan tungkubatas dapur, sambil jemur baju yang basuh tadi..abg wafiy gi tengok arnab pulakk..ajak masuk 2 3 kali baru nak masuk..huwaa baby pun nangis lagi..aiseh..tutup dapur tungku, susu baby lagi..

pastu sebab wafiy tak makan lagi, buat susu botol lagi..mujur nak minum..sian dia demam kan..biar dia tgk tv dan inilah saya tengah menaip guna handset sambil sebelah tangan bertungku..percaya tak sekarang ni dah pukul 12.40 tengahari? saya tak percaya. berjam2 duk layan anak2..tak sedar pun masa berlalu..separuh pagi ni pun dah lelah semacam..

Allah..semoga Allah berikqn keikhlasan dalam hati ni..letih semoga letihnya bermanfaat..amiin..

Takdir

Assalamualaikum..

Hari ini keletihan..ah bukan saja hari ni, hari-hari kini sungguh meletihkan. Inilah rutin sejak bertambahnya tanggungjawab baru 2 minggu lepas.

Alhamdulillah..dikurniakan seorang lagi zuriat sebagai satu amanah buat kami..kali ini princess pulak..hehe..nantj boleh jadi kawan ummi kat dapur.

Oh ye..tiba-tiba saja muncul kembali di blog ni..hehe..rupa-rupanya dah setahun lebih tak menjenguk..hai sesiapa yang masih membaca blog ini.=)

Ssebenarnya tak kisah pun ada ke tidak pembacanya, tapi alhamdulillah bila menulis ada satu kelegaan dalam diri..tapi ye lah sejak berkahwin ni masa sangat2 limited..kalau ada masa terluang baiklah mentidurkan diri saje sebelum anak bangun.

Sebenarnya masih cuba menyesuaikan diri dengan situasi baru ni..ada dua orang anak, woh tak tersangka dah kawin dan berkeluarga..eh. cepat sangatlah masa berlalu.

Hmm..anak-anak sudah tidur..leganyaaa..sekarang masih berpantang di kampung, jadi suami tak ada di sisi buat sementara waktu..oh sedihnya. suami pulak banyak kerja tertunggak kerana bercuti lama sejak bersalin jadi sibuknya memanglah kan..tak boleh menggangu sangat jadi marilah kita menulis untuk bercerita.

Hari ni macam biasa baby princess dengan rutinnya..tidur, bangun, menyusu, kena sendawakan, kemudian tukar pampers sebab takut jadi ruam kalau lama n the cycle goes on like 2 3 hours non-stop! fuh..bila settle bab adik, kena uruskan si abg wafiy pulak.

Bangun pagi, buat susu, mandi, kemudian makan..tapi taklah se'smooth' yang dibayangkan sebab tengah2 mandikan abg adik baby pun menangis mintak susu..tak ke berkejar ummi..siap yang abg, uruskan adik pulak. Siap adik, abg pulak nak perhatian..!ya Allah memang kerja macam tu je hari2..

Ummi bila ada masa terluang nak lah bertungku demi kesihatan kan..ye lah badan nak kena jaga nanti kalu sakit masa tua kita jugak yang menanggung kan..tapi lepas bakar tungku asyik tak sempat nak ambil sebab sibuk gi mari orang kata..kemudian tungku pun sejuk dan kena panaskan balik..ish2..

kadang2 baru nak start menungku haa  princess pun bangun menyusu..lama jugak tu sebab nak burpp lagi..sakit pinggang2..kemudian tungku pun sejuk balik...arghh naik stress jugak kita..ubat ni pun tak ingat nak mkn..bukan taknak makan tapi dah tak ingat nak buat macam mana..memang tak berhenti buat kerja..ini tengah tunggu panaskan tungku baliklah ni..kalau tak nak tidur dah ni..badan letih sangaaat..

oklah..first update sejak lama tak update pun dah panjang..nantilah cerita yang best sikit, sekarang cuma nak meluahkan perasaan saje..

ok pergi dulu..tungku panas2 baru sedap, doakan saya cepat sembuh ye..baru badan bertenaga nak buat kerja yang tak akan habis ni..=)

assalamualaikum..


Tuesday, February 25, 2014

Abah.

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum w.b.t..

Baru ku sedari, ku lihat rambutnya mula memutih.
Hati tersentuh.

Dia masih gagah melayani kerenah anak-anak, yang kini bertambah pula dengan kehadiran cucu-cucunya.

Tabahnya dirinya, perjalanan waktu seiring pertambahan usia, kasihnya tetap di situ.
Antara sedar dan tidak.

Dia yang sentiasa berusaha memenuhi setiap impian anaknya.
Tak pernah disedari betapa letihnya dirinya, betapa runsingnya jiwanya, betapa tertekannya perasaannya.

Dia sentiasa tersenyum.

Tiada apa yang mampu menggantikan senyuman itu. Senyuman ketabahan.

Sewaktu jiwanya menangis, tiada siapa yang tahu.
Sewaktu batinnya terseksa, tiada siapa yang sedar.

Ku mengeluh. Mengenangkan diri ini tidak mampu berada di sisi, menceriakan hari-harinya.

Ku sedih, tidak akan pernah mampu membalas jasa-jasanya.
Ku mahu, bersama-sama mengisi masa tuanya.
Ku teringin, melihatnya tersenyum dengan kehadiran menantu dan cucunya.

Dari kejauhan, ku mendoakan, agar dia terus ceria.

Oh ya Allah, andai kebahagiaan anak-anak berita yang paling menyenangi hatinya,
tenanglah dirinya, kerana diri ini bahagia di samping suami tercinta.

Suami yang mendapat restunya, suami yang mengambil tanganku dari tangannya.
Suami yang kini adalah penjagaku, setelah dia yang yang selama ini sebaik mungkin membesarkanku.

Tenanglah dirinya, usah gusar tentang kehidupanku.

Kami tenang di sini, bersyukur dengan segala kurniaan.
Bukan kemewahan yang diimpikan, cukuplah hidup berbekalkan kesyukuran dan keredhaan Tuhan.
Kami mahu hidup penuh kesederhanaan.

Ku yakin, saat ku menerima semua ini,
pasti, ianya berpunca dari doa seorang ayah.

Doa seorang yang sentiasa mencintai anak-anaknya.
Doa yang lebih bernilai dibandingkan dengan harta dan segala kenikmatan dunia.
Dia yang tabah mendidik dan menghadapi kerenah anak-anak kesayangannya,

Ku mahu pinjam ketabahan itu, dia yang tersenyum di sebalik tangisan.

Dia yang gagah menongkah arus perjalanan.
Dia yang mengajarku erti kehidupan.
Dia yang dalam diam, mahu anak-anaknya beroleh kejayaan.

Walau diri ini jauh, tetapi ku doakan dia mendapat perhatian Tuhan.

Dikasihi, disayangi, dipelihara dan dirahmati Tuhan, padaku itu satu keutamaan.
Dia mungkin pernah kecapi nikmat kehidupan di dunia, namun ku mahu dia dia kecapi kehidupan yang lebih lagi nikmat di sana.

Itu doaku. Semoga husnul khatimah mengiringi penghujung waktunya. Semoga kasih sayang Allah sentiasa bersamanya. Semoga dia sentiasa bahagia di bawah naungan kasih Tuhan yang tiada tandingannya.

Itu kasih sayang seorang ayah.

Kasih sayang yang sentiasa hidup, sentiasa dekat dan sentiasa mekar di jiwa.
Terima kasih abah.

Ikhlas dari
puterimu.




Sunday, September 22, 2013

It's a boy! =)

Assalamualaikum..



Sewaktu melangkah keluar dari rumah untuk ke hospital, kakak ipar saya Feer dengan yakinnya berbual dengan abah saya,

"Insya Allah it's a girl"

Abah pun balas, "Really?you think it's a girl?"

"Yea insyaAllah it's a girl insyaAllah,"

Saya yang mendengar ini tersenyum sendiri dan berkata dalam hati,

"A miracle will happen, we'll see" hehe.


Begitulah antara dialog biasa kedengarasn sejak kehamilan saya mencecah 6 bulan.

Yang lucunya, ketika itu, hampir 90% orang meneka bahawa saya mengandungkan anak perempuan. Mungkin melihat tanda-tanda atau petua orang lama, mereka sungguh yakin sehingga saya hampir percaya tekaan mereka. Ada yang melihat bentuk perutlah, cara berjalanlah, seri mukalah, dan pelbagai jenis tekaan yang logik-logik juga.

Iyelah, yang meneka itu orang-orang yang berpengalaman..Orang-orang tua, mak-mak saudara, kakak-kakak dan hampir semuanyalah, tambahan pula saya dan suami  terus menerus tidak mahu tahu jantina baby kami walaupun beberapa kali scan. Menarik pula rasanya. Hehe.

Cuma, suami saya kerap kali mengatakan saya mengandungkan anak lelaki, entahla kenapa. Mungkin memang dia teringin sangat dapat anak lelaki sebagai anak sulung. Saya ni tidak kisah pun sebenarnya, lelaki pun ok, perempuan lagi ok..asalkan sihat dan sempurna semuanya.=)

Sempat juga kecil hati dengan suami  bila beliau asyik mengatakan lelaki, sedangkan semua kata perempuan.
Boleh tak macam tu? He. Orang kata instinct ibu kan ada, tapi saya ni ibu yang confuse. So marilah kita berserah pada Allah.


Jadi sewaktu waktunya hampir tiba, last check up sebelum admit ward, boleh pulak doktor di klinik itu bercakap-cakap dengan nurse depan saya sambil tengok mesin scan itu,

"Oh, boboboy" kata nurse.

"Oo, lelaki anak dia," kata doktor itu pula.

Saya dah tercengang sendiri dalam hati. Perasaan bercampur baur. Terus terbayang wajah suami yang menunggu di luar. Rasa nak tergelak sorang-sorang. Apakah ini? Hehe.

Datang pula seorang lagi doktor, pada mulanya beliau mengiakan. Tapi kemudian beliau berkata, "insyaAllah puan dapat anak perempuan nanti, insyaAllah."

"Ha?"

Saya  kembali confuse. "Ya Allah biar betul," Setelah disogok dengan pelbagai andaian tentang anak perempuan selama ini, doktor dan nurse ini sempat lagi  mempermainkan perasaan ibu mengandung ini.

Dalam hati, kalau lahir anak lelaki memang satu keajaiban sungguh.

Dalam kereta berceritalah pada suami kejadian tadi, seperti biasa suami hanya tersenyum dan mengangguk2 kepala. Kata saya,"Jie rasa ni baby perempuan ni, doktor last tadi kata perempuan", kata seorang ibu yang degil dan keliru.

Jadi perasaan saya terlebih teruja berbanding orang lain. Antara realiti dan fantasi. Antara sains dan tradisional. Hehe, nampaknya kali ni memang betul-betul surprise!


Dan alhamdulillah..terjawab sudah segala persoalan. Allah kurniakan kami keajaiban itu.=)

Seorang baby lelaki yang comel, sihat dan sempurna telah dilahirkan pada 6 September 2013, beberapa minggu awal dari due date nya. Ada sedikit masalah di hujung kehamilan akibat air ketuban kurang, tapi alhamdulillah saya dan baby sihat walafiat. Nanti saya ceritakan ye, insyaAllah.

Yang seronoknya, semua terkejut dengan kelahiran budak kecik ini. Hehe. Ada yang kecewa kerana tekaan mereka tidak tepat. Suami pula tersenyum memanjang. hehe. Seronok kan, surprise?=)

Doakan anak kami membesar menjadi hamba Allah yang bertakwa dan anak yang soleh ye. Semoganya kehidupan putera sulung kami ini sentiasa di bawah ramhmat dan kasih sayang Allah sentiasa, amiin.=)

Selamat datang ke dunia duhai si kecil!

=)

*Entry ini memakan masa 5 hari atau lebih! Bersungguh benar ummi berpantang. Dan menjaga si kecil juga.=)

Wednesday, July 10, 2013

Mendidik generasi baru

Assalamualaikum...

Anak-anak saudaraku yang comel-comel.
 Semoga kalian membesar menjadi hamba Allah yang bertakwa
Sejak dua menjak mengandung ini, banyak pulak fikiran yang bertandang.

"Kagum pada mereka yang berjaya membesarkan anak-anak dengan sihat dan bijak."

"Kagum lagi pada mereka yang berjaya terapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak."

"Terlebih-lebih kagum pada mereka yang membesarkan anak yang berakhlak mulia dan bertakwa kepada Allah"

Kita ini, nak membimbing diri sendri pun, bukanlah mudah. Inikan pula untuk membimbing individu lain yang baru mahu mengenal dunia.

Namun memandangkan ini adalah amanah dari Allah, kita pasti mampu. Allah tidak akan beri sesuatu yang kita tidak mampu, kan?..

Sesungguhnya anak ini sudah punya perjalanan hidupnya yang telah pun Allah tetapkan sejak usianya 4 bulan (lebih) lagi. Baik atau buruk pengakhirannya, Allah sudah tentukan. Cuma bagaimana perjalanannya harus dipimpin dan dibimbing. Kelebihannya, kekurangannya, ujiannya, sudah pun tersedia untuknya.

Anak ini harus dijaga dengan didikan agama yang sempurna. Hanya itu penyelamatnya dunia akhirat. Ya, hanya itu pelindungnya di zaman yang serba mencabar ini.

Semoga Allah membimbing, dan menjaganya agar dirinya sentiasa dalam pandangan rahmat Allah. Ibu bapa, tanggungjawabnya ialah untuk menunjukkan jalan, berusaha sedaya mungkin agar jalan yang ditempuhi anak-anak ini sentiasa di atas jalan yang benar dan diredhai Allah.

Baik ayah dan ibunya, bukanlah jaminan baik anak-anaknya. Baik akhlaknya sewaktu kecil, bukanlah jaminan waktu besarnya masih seorang yang mulia akhlaknya. Juga, nakal sewaktu kecilnya bukanlah jaminan dia akan terus begitu.. Semua kuasa Allah, sungguh, zaman ini zaman yang tidak dapat dijangka.

Namun, kita ada Allah, dan berdoalah sesungguhnya agar Allah menjaga diri kita, dan keluarga dari setiap perkara yang tidak disukaiNya. Kita hanya mampu berusaha, hasilnya, hanya Allah yang akan menentukan. Bersangka baiklah pada Allah.

Usaha, doa, usaha lagi, doa tidak putus2, serta tawakal sepenuhnya kepada Allah.

Semoga Allah menjaga anak ini dunia akhirat. Semoga dia membesar menjadi hamba Allah yang bertakwa, berjaya di dunia dan akhiratnya.

Dan dipermudahkan urusan bakal ummi dan abi ini.

Amiin ya Allah.

Mohon doa kalian juga..=)

#Salam Ramadhan buat semua pembaca..=)




Sunday, July 7, 2013

The brand new life

Assalamualaikum..




I went to Uia few weeks ago to settled up some unfinished works, and in the middle of the journey meet some of batch mates.

"Dah nampak dah perut" sambil touch softly my tummy.

"Wah dah nak ada anak," said another one.

Wah.. how do they know?

It such a great feeling to know that people actually concern about your pregnancy. Even though i never mentioned it directly to anyone except close friends, but they knew it, indirectly..Hehe, Gossip girls never stop.

Yes, I'm pregnant. Almost 7 months. =)

Alhamdulillah, rezeki dari Allah. My husband and I feel so excited about it.

Dan kami decide untuk tidak mahu tahu jantina baby ni before the delivery. Is it weird? Because most people buy stuff for the baby due to the gender, but for me, let it be surprise..=) Color is not the big deal. Just buy safe color then. Hehe.

So the excitement becomes higher. ^_^

Please pray for us, okay?=)

Friday, June 7, 2013

Naskah Cinta


Semua orang sudah berada di meja makan. Ruang makan khas untuk tetamu itu memuatkan set meja makan untuk lapan orang, dan semua sudah berada di tempat masing-masing. Suasana cukup tenang dan nyaman. Masing-masing membisu, menunggu.

Terhidang di atas meja, hidangan nasi lemak untuk makan malam. Nasi lemak bungkus yang sangat sedap, aromanya sudah cukup membuatkan masing-masing lapar. Memang nasi lemak yang digemari setiap orang.

Terdengar salam dari pintu masuk besar. Fatin bergegas bangun. Tetamu istimewa itu sudah sampai. Senyuman diukir, ada rasa riang di hatinya. Gerun juga ada. Lantas dia mempersilakan tetamu itu masuk untuk menyertai keluarganya di meja makan. Semua menunggu tetamu tersebut, dengan perasaan tidak sabar untuk menyantapi hidangan yang ada.

Tetamu itu dipersilakan duduk di bahagian hujung dan tengah meja. Tempat yang istimewa dalam keluarga itu. Selalunya diduduki abah, namun malam itu, abah memberi ruang kepada lelaki itu. Dia kelihatan malu-malu, segan mungkin. Fatin mempersilakannya duduk.

Fatin juga melabuhkan punggungnya di sebelah ummi. Ummi duduk di tengah-tengah antara mereka, memisahkan tempat duduknya dengan lelaki itu.  Semua hanya senyap membisu, memerhati mungkin. Lelaki itu berlagak biasa, cuba mengawal gemuruh di hati.

Masing-masing mula membuka bungkusan nasi lemak masing-masing. Sudah tidak sabar menikmati keenakan nasi lemak istimewa itu. Fatin memerhati.

'Ah, ya Allah, kenapa tak cukup satu bungkus!' Fatin terjerit dalam hati.

Benar, di hadapan tetamu itu, tiada bungkusan nasi lemak seperti yang lainnya. Hanya ada pinggan kosong. Fatin mula resah. Mana mungkin tetamu itu tidak disajikan makanan seperti yang lain, itu bukan adab yang diajar dalam keluarganya.

Fatin segera mengambil bungkusan nasi lemaknya untuk diberi kepada tetamu itu. Tanpa disangka, ummi sudah pun terlebih dahulu bertindak. Ummi yang duduk di sebelah jejaka tampan itu sudah pun mengunjukkan bungkusannya kepada beliau. Tetamu itu malu-malu mahu menerima, namun didesak ummi dengan senyuman manis. Tiada perbualan berlaku, semuanya seperti sebuah lakonan sunyi.

Fatin memerhati. Tersenyum sendiri. Lega. Alhamdulillah. Tetamu itu disenangi ummi. Juga disenangi yang lainnya.

Tiba-tiba terdengar bunyi yang seperti biasa didengarinya. Bunyi alarm handphonenya.
Fatin membuka mata lambat-lambat.

'Ah, mimpi rupanya,' dia termenung.

'Hmm..'

'Mimpi apakah? Dan mengapakah?' Termenung dirinya sebentar.

Tetamu itu, seperti dikenalinya. Malah ummi juga ada. Bukankah ummi sudah meninggalkan dunia ini beberapa tahun yang lampau?

Dan dia mula meyedari sesuatu. Ia seperti sebuah mimpi yang membawa petunjuk. Petunjuk bahawa lelaki itu disenangi keluarganya.

'Tapi benarkah ya Allah'?.

Lantas mimpi itu dilupakan buat beberapa lamanya. Sehinggalah hampir setahun berlalu, Fatin mula menyedari sesuatu. Pada hari istimewa itu, dan ketika saat lafaz cinta itu dimeterai, Fatin mula mengimbau mimpi yang indah itu.

Tetamu itu kini sudah pun sah menjadi suaminya. Suami sehidup sematinya. Subhanallah, cantik sungguh aturan Allah.

'Benar, tetamu itu adalah jodohku, dia datang secara baik, dan diterima secara baik juga,'

Fatin senyum sendiri. Mimpi itu, sama ada benar-benar sebuah petunjuk atau bukan, meninggalkan satu impak besar dalam dirinya. Terasa seolah-olah restu ummi juga mengiringi.

Hati kecilnya lantas berbisik,

"Sungguh ummi, dia lah pilihan Allah yang terbaik untuk jie, dengan izinNya"


Note: 
This is dedicated to my lovely husband. 
Mimpi ini benar, dan rasa cinta ini juga benar. Segalanya benar dengan izin Allah. 

I love you so much, 
Happy Birthday sayang.
^_^

-07.06.2013-











Friday, May 10, 2013

Foods~ why so lovable?? =)

Assalamualaikum...
My chicken chop..=)

I always love cooking, and it grows bigger after marriage (actually eating is much more fun than cooking)..hehe. It always be my dream to cook for my husband, and it's really a nice thing ever to see mr husband smiling and enjoying the meal. Alhamdulillah the dream finally come true..^_^

Nice smile, abg! =)

Ingat lagi pesan orang tua-tua, ikat perut suami dengan air tangan sendiri, I've been working to learn cooking ever since my teenager time, in preparation for my husband. Trust me, I did not even know who will be my husband, didn't have anyone though. Really. But, I know one day I will be marry to someone, and it might be really shameful if I cannot cook. Then I believe I have to be prepared. Cooking is something really basic for woman. It's a waste if we cannot cook when actually we can cook. Believe me, everyone can cook if they want to. 



Then I believe, to be a good cook, we need to experience the cooking process. Always wonder why mak-mak mampu menyediakan masakan yang sedap dan menyelerakan. And there is no way you can cook so perfectly at your first try. THEN, if you never cook before marriage, how can you cook nice meal for mr husband? This thought have been with more for like years. So it's the point. Teenagers, start cook now for your future.

Now it's time for me to enjoy cooking, at least when the passion is still there...hehe^_^ Ops, not to forget my master study, he, but the life has been SO NICE now before I'll go busy busy after this,, i know life not gonna be same after this. Abang, please be prepared too...^_^


Lepas ni nak masukkan resepi dalam blog insyaAllah, bila makin banyak masak, makin banyak pulak resepi..jadi cepat pulak lupa. Simptom2 nak tua le tu..hehe. Ada buku resepi sendiri dah tercabut-cabut sampai jatuh bawah rumah. Sayang pula rasanya. Okay jumpa lagi next time.=)

-Puan Fatin..=)


.


Thursday, April 11, 2013

Picnic


Assalamualaikum..

Sikap lama masih ada. Update satu cerita, tinggalkan blog tanpa berita..Tapi siapa yang ambil kisah kan. hehe.=)

Mahu kembali normal menulis blog, susah itu. Sebab komitmen di dunia realiti lebih indah. =) (sebenarnya mood  yang tak datang-datang) Alhamdulillah, bergelar seorang isteri, tiga bulan lebih sudah. Macam-macam ye yang dihadapi. Manis tentulah, masin, masam, pahit,  ada juga berselang seli..tapi semua tu menambah perencah, dan makin lama makin seronok pula. hehe. Tapi betullah, hidup di alam realiti much more fun dari terawang di dunia fantasi. I admit it, dengan pengalaman yang tidak seberapa ini..=)

Maka kehidupan selepas kahwin, memang mendidik. Semoga terdidik menjadi yang lebih baik, amiin. Alhamdulillah, si suami begitu dia-alukan dalam keluarga. Malah lebih dialu-alukan dari saya. hehe. Tiada siapa lagi peduli jika saya tiada, yang penting suami saya perlu ada di sisi mereka.. Benarkah mitos ini? masa akan menentukan..But he is so lovable by everyone, which makes me much more happy. Alhamdulillah.=)

Kesempatan yang ada ketika pulang ke kampung, perlu digunakan sebaiknya. Jadi saya sebagai seorang yang sangat suka pergi berpicnic, dengan jayanya mengumpulkan mereka yang ada untuk 'last minute picnic', tentulah dengan kelapangan masa dan tanpa paksaan. Alhamdulillah, semuanya bersetuju. Maka ber'picnic'lah kami dengan gembiranya di tepi pantai dengan angin yang sepoi2 bahasa..amazingly nice.=)

Abang with wifey Feer and little Hud. ^_^
Dina with the castles.
Esyraf si comel
Hudy bear (bak kata menn)

Para isteri sekalian~

Yellow couple
Pilot

dan akhirnya yang ditunggu-tunggu, tentulah kami pengantin baru..hehe..:
First picnic after married..^_^
Love him..=)
May Allah bless.

We had so much fun, sungguh sangat menyeronokkan. Semoga lain kali masa tidak mencemburui kami dan picnic dapat dijalankan dengan lebih meriah insyaAlalh.

*Sebenarnya dalam kepala terbayang-bayang BBQ pula. BBQ depan rumah macam biasa. Mari kita lihat ia dapat direalisasikan atau tidak.^_^

See u next entry.=)




Monday, February 25, 2013

I'm married..^_^

Assalamualaikum...
Ape khabar semua? Akhirnya, akhirnya kembali juga saya ke dunia maya ini, mengemaskini apa yang perlu dikemaskan.,=) dan lebih penting lagi mahu berkongsi sesuatu yang indah yang telah berlaku dalam hidup saya, iaitu...^_^

I'm happily married!

All praises to Allah.^_^

Alhamdulillah ya Allah, pernah saya kata, rancangan Allah itu selalunya sangat hebat. Semuanyan berlaku dengan pantas. Perancangan perkahwinan kami, tanpa disangka menjadi awal berbulan-bulan, untuk itu tiada sebab untuk saya tidak menyukuri apa yang Allah kurniakan pada saya.=)

Alhamdulillah, saya kini bergelar seorang isteri, ^_^ Berat sungguh title itu pada saya. Doakan saya dapat menjadi isteri yang solehah buat suami yang tercinta. Saya mahu belajar memberi lebih banyak dari menerima, insyaAllah, kerana dapat membahagiakan seseorang itu sudah cukup membahagiakan buat saya.

Sekurang-kurangnya itu impian saya, berjaya atau tidak, keputusannya bukanlah berada di dunia ini. Semoga cinta kami ini sentiasa dalam redha dan keberkatan Allah sehingga ke akhirnya, amiiin.=) Doakan kami ye.^_^

Untuk suami yang disayangi, diri ini masih banyak kekurangan, masih perlu dibimbing dan ditunjukkan jalan untuk menjadi seorang yang solehah. Semoga abang dapat membantu melengkapi kekurangan dan menunjukkan arah jalan untuk kebaikan kita dunia akhirat, insyaAllah..=)

baiklah, ni sekadar short update, sebagai permulaan ni tak boleh panjang2 lagi, kena kumpul semangat dulu..hehe, di sini saya kongsikan sedikit dulu gambar sekitar majlis perkahwinan kami..hehe, okay, see u soon.





Jumpa lagi,
~Puan Fatin (hehe) ^_^

Sunday, November 25, 2012

Realiti tidak seindah fantasi~

Assalamualalaikum..

“Masa nak kahwin memang seronok, nanti jie dah kahwin, jie tahulah macam mana”

“Selepas kahwin, sukalah sekejap masa tengah berdua tu kan. Bila dah ada anak, hmm, rasa menyesal pula kahwin awal”

“Memang tension jie kawin, banyak sangaaaat3 tanggungjawab, nanti jie tahulah bagaimana,”

“Dengan masalah tanggungjawab yang pelbagai, suami pula kurang memahami, masalah anak2, masalah kewangan lagi, berat jie..”

“Memang tension, selalu rasa tertekan,”

“Setiap hari, hari yang baru, perkara yang baru,”

Kata mereka apabila ditanya tentang alam rumahtangga. Ayat-ayat ini terus melekat dan menusuk ke jantung saya. Mendengarnya dari orang yang berbeza, membawa kepada satu kesimpulan, perkahwinan ini bukan suatu perkara yang main-main.

Padahal sebelum ini, bukan saya tak tahu tentang tanggungjawab itu semua, bukan saya tak pernah mendengar pengalaman mereka, apatah saya ini suka membaca dan menghayati pengalaman orang, namun apabila ia diulang-ulang, maka saya yakin ini bukan perkara yang boleh dibuat gurau. Ia realiti, realiti yang terlalu pahit untuk dibayangkan saya yang masih lagi bujang ini. Walaupun saya tidak punya statistik atau angka sebenar kes-kes seperti itu, namun saya yakin, kesnya bukan sedikit berlaku, tentang isteri yang tidak bahagia dan mengalami penderitaan emosi.

Jauh di sudut hati, sedikit sebanyak ia menambahkan kebimbangan yang memang sedia ada dalam diri saya.

Mendengar, membaca dan melihat, saya yakin sungguh2, ia sangat berbeza dengan mengalaminya sendiri.

Maka saya ambil itu semua, saya telan, saya hadam, dan saya harus menyediakan diri dengan segala kemungkinan tersebut. Sakit mendengar pengalaman mereka, tentulah sakit lagi mereka yang menanggung. Dan tidak mustahil saya, ya, saya di alam realitinya, bakal berhadapan dengan semua itu juga.

Saya tidak menolak kemungkinan, saya juga akan diuji. Ya, saya yakin benar saya pasti diuji setelah berumahtangga nanti. Memang hidup ini tempat ujian. Cuma ujian itulah mungkin sedikit berbeza, masing2 punya ujian tersendiri, masing2 punya bahagian. Saya tidak menolak kemungkinan itu.

Apabila mereka berkata, “Jie tahulah macam mana nanti lepas kahwin,”, dengan nada yang bercampur baur dan kelihatan penuh tekanan, saya ambil kata-kata itu sebagai satu amaran untuk saya untuk tidak terlalu mengharapkan keseronokan dan kemanisan semata-mata. Malah saya tak pernah mengharapkan bahagia yang sempurna tanpa cacat cela, kerana saya mahu hidup di alam realiti. Dan realiti selalunya tak seindah fantasi.

Pada saya, mereka yang bercerai, pada awal perkahwinan tentulah tidak mengharapkan perkara itu terjadi pada mereka. Mereka yang kematian suami isteri, juga tidak pernah terlintas di fikiran perkara itu akan berlaku pada mereka. Samalah juga yang bertelingkah sepanjang masa, di awal perkahwinan, tentulah mereka mengharapkan bahagia yang berpanjangan. Tidak kurang mereka yang berpoligami, tentu si isteri tidak pernah terfikir untuk diduakan..

Sungguh, semuanya aturan Allah, kita hanya mampu berserah kepadaNya. Saya juga tidak mustahil diuji sedemikan, nauzubillah, hanya kepada Allah saya meminta perlindungan. Tentu saja kita tidak mampu menafikan takdir. Kesedihan itu pasti ada, namun begitulah, sekali lagi, hidup memang tempat ujian.

Jadi, saya ini, yang belum melangkah ke alam itu, sentiasa berusaha untuk tidak terlalu meraikan kebahagiaan yang ada dengan sesungguh hati, kerana sedar segala kebahagiaan itu hanya pinjaman, dan pinjaman itu sifatnya tidak kekal. Cukup sekadar bahagia itu menjadikan saya lebih bersyukur, saya sudah cukup berpuas hati.

Cuma alhamdulillah, ketakutan terhadap pelbagai ujian dalam alam rumahtangga, tidak menyebabkan saya langsung menolak untuk melangkah ke alam itu. Tidak sama sekali. Saya menerimanya dengan hati terbuka, dengan keyakinan bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

Akhirnya, bebanan dan kesusahan yang dialami para isteri, saya lihat,segalanya harus kembali kepada Allah. Sedarlah kita bahawa Allah hanya menguji mengikut kemampuan hambaNya.. Apabila kita diuji, kita pasti mampu. Dan kita yang harus mencari kemampuan itu. Bukan hanya sekadar menyalahkan takdir dan menangisi nasib.

Kita ada Allah, ingatlah firman Allah ini:

“Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia akan dibalas sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik laki-laki mahupun perempaun sedangkan dia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tidak terhingga” (Al-Ghafir:40)

Sesungguhnya Allah itu ada. Dan Allah sebaik-baik pemberi balasan. Hanya Allah pemberi kekuatan sebenar saat menghadapi apa saja ujian di dunia ini.

Semua ini bagi saya, satu kitaran hidup. Semua pasti mengalaminya. Semua pasti diuji. Dan semua mungkin menghadapinya dalam keadaan yang berbeza. Saya tak berani berkata, saya mampu menghadapi semua dugaan itu, kerana hakikat sebenar mungkin lebih dari yang saya bayangkan.

Saya cuma mampu bersedia, ya bersedia dari segi emosi, mental, fizikal dan rohani terutamanya. Berusaha mengutip pengalaman-pengalam mereka sebanyak mungkin, untuk dijadikan bekalan menghadapi konflik di alam rumahtangga nanti. Semoga perjalanan itu, semakin mendekatkan diri saya kepada Allah. Kerana pada saya, jika kebahagiaan itu membuatkan kita jauh dari Allah, maka itu cuma bahagia palsu. Dan ia satu bencana buat diri kita. Bencana dunia akhirat tentunya. Nauzubiilahiminzalik.
Mohon doa kalian.=)
Doakan semuanya dipermudahkan dan sentiasa dalam redha Allah, amiin.=)

*semua gambar adalah ihsan google

Friday, November 2, 2012

Ibrah aidiladha dan ketakwaan kepada Allah

Assalamualaikum..
Lama benar tidak berupdate dek kerana sibuk dengan urusan keluarga..=) Alhamdulillah, walaupun sudah seminggu berlalu, saya terpanggil untuk menulis tentang aidiladha.

Berada dalam kepala terlalu lama, saya fikir ia perlu juga dicurahkan agar kita dapat sama-sama membuka minda, seterusnya sebagai peringatan terutamanya kepada diri saya sendiri insyaAllah..

Mengambil ibrah aidiladha, pengorbanan yang dilakukan nabi ibrahim dan nabi ismail terlalu besar pada saya. Lebih dari itu, saya melihat mereka antara contoh terbaik dalam perhubungan antara ayah dan anak.=)

Saya terfikir, betapa hebatnya seorang ayah yang sangat menyayangi anaknya ismail, sanggup meletakkan keutamaan perintah Allah berbanding keutamaan dirinya sendiri. Perintah mengorbankan anak, sungguh, pasti sukar dilakukan mana-mana ayah di dunia ini yang ada rasa kasih pada anak sendiri. Dan pengorbanan itu berlaku, tentunya atas dasar takwa kepada Allah dengan sepenuhnya.

Dan saya juga mengagumi kepatuhan seorang anak yang juga meletakkan keredhaan Allah yang paling utama. Nabi ismail ternyata sangat redha dengan keputusan ayahnya yang mahu mengorbankannya, tanpa banyak soal. Sungguh! tiada anak yang sanggup begitu, jika bukan atas dasar takwa yang kukuh kepada Allah.

"Dan Ibrahim berkata: Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.

Ya Tuhanku, anugerahkan kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.

Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim. Ibrahim berkata: 'Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!' Ia menjawab: 'Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya- Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya).

Dan Kami panggillah dia: 'Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.

Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian,

(yaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim". Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman. " (QS. Ash-Shaaffaat: 99-111)

Menambahkan kekaguman saya, bagaimana seorang anak yang pernah ditinggalkan di padang pasir yang tandus ketika kecil, tidak langsung menyimpan marah terhadap ayahnya. Malah mematuhinya tanpa dipersoalkan tindakannya. Memetik sedikit sirah nabi ismail, saya yakin ujian ini adalah ujian yang berat buat kedua-duanya, nabi Ibrahim a.s juga nabi ismail a.s.


Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya dan anaknya yang masih menyusu di padang sahara. Ibu Ismail menyusui anaknya dan mulai merasakan kehausan. Saat itu matahari bersinar sangat panas dan membuat manusia mudah merasa haus. Setelah dua hari, habislah air dan keringlah susu si ibu. Hajar dan Ismail merasakan kehausan, dan makanan telah tiada sehingga saat itu mereka merasakan kesulitan yang luar biasa. Ismail mulai menangis kehausan dan ibunya meninggalkannya untuk mencarikan air. Si ibu berjalan dengan cepat hingga sampai di suatu gunung yang bernama Shafa. Ia menaikinya dan meletakkan kedua tangannya di atas keningnya untuk melindungi kedua matanya dari sengatan matahari. Ia mulai mencari-cari sumber air atau sumur atau seseorang yang dapat membantunya atau kafilah atau musafir yang dapat menolongnya atau berita namun semua harapannya itu gagal. Ia segera turun dari Shafa dan ia mulai berlari dan melalui suatu lembah dan sampai ke suatu gunung yang bernama Marwah. Ia pun mendakinya dan melihat apakah ada seseorang tetapi ia tidak melihat ada seseorang."

Si ibu kembali ke anaknya dan ia masih mendapatinya dalam keadaan menangis dan rasa hausnya pun makin bertambah. Ia segera menuju ke Shafa dan berdiri di atasnya, kemudian ia menuju ke Marwah dan melihat-lihat. Ia mondar-mandir, pulang dan pergi antara dua gunung yang kecil itu sebanyak tujuh kali. Oleh kerananya, orang-orang yang berhaji berlari-lari kecil antara Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Ini adalah sebagai peringatan terhadap ibu mereka yang pertama dan nabi mereka yang agung, yaitu Ismail.

Setelah putaran ketujuh, Hajar kembali dalam keadaan letih dan ia duduk di sisi anaknya yang masih menangis. Di tengah-tengah situasi yang sulit ini, Allah SWT menurunkan rahmat-Nya. Ismail pun memukul- mukulkan kakinya di atas tanah dalam keadaan menangis, lalu memancarlah di bawah kakinya sumur zamzam sehingga kehidupan si anak dan si ibu menjadi terselamatkan. Si ibu mengambil air dengan tangannya dan ia bersyukur kepada Allah SWT. Ia pun meminum air itu berserta anaknya, dan kehidupan tumbuh dan bersemi di kawasan itu. Sungguh benar apa yang dikatakannya bahawa Allah SWT tidak akan membiarkannya selama mereka berada di jalan-Nya.


sumber: sirah nabi

Pada saya, sukar sekali untuk seorang anak yang punya kisah silam sebegitu, untuk menerima perintah ayahnya untuk kesekian kalinya. Paling kurang, seorang anak pasti teragak-agak untuk menerima perintah ayahnya yang pernah meninggalkannya berdua dengan ibunya di tengah panas tanpa setitik air pun. Namun perhatikan kata-kata nabi ismail apabila diberitahu oleh nabi ibrahim tentang mimpi itu:

'Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya- Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'

Beliau menerimanya dengan redha dan sepenuh tawakal kepada Allah tanpa ada secebis ragu-ragu pada perintah ayahnya. Ketakwaan itu membuatkannya patuh, kerana sedar ianya dari Allah.

Bayangkan, ketika kecil ditinggalkan di padang pasir yang panas terik, tanpa bekalan makanan dan air, itu pasti adalah sesuatu ujian yang berat jika tidak didasari takwa. Jika pada orang biasa, mungkin ia sudah menjadi satu kesedihan yang mampu menyebabkan fobia dan trauma, serta kewujudan rasa benci kepada ayah sendiri. nauzubillah. Mungkin juga akan wujudnya rasa dendam, tanpa cuba mencari hikmah di sebaliknya.

Namun ternyata, Nabi Ismail itu seorang yang sangat redha. Dan ternyata setiap yang berlaku sentiasa berhikmah. Jika bukan kerana mereka ditinggalkan di padang pasir itu, maka nabi ismail tidak mungkin akan menghentak-hentakkan kaki lalu terwujudlah telaga zam-zam yang masih lagi mengalir sehingga ke hari ini. Dan kemudiannya berkembang menjadi pusat ibadat yang dimuliakan Allah, subhanallah.

................................
Saya meilhat kisah ini sebagai kisah yang sangat bermakna, lebih dari sebuah pengorbanan yang kemudiannya menjadi satu perayaan buat umat Islam.

Saya melihat betapa perhubungan yang didasari ketakwaan ternyata dapat mewujudkan susana redha-meredhai, dan menerima segala ujian dengan hati terbuka kerana tahu ia semuanya datang dari Allah. Maka ketenangan itu dapat dinikmati tanpa ragu. Kerana segala yang Allah aturkan itu memang dipenuhi hikmah tersembunyi, dan adalah tugas kita untuk mencari hikmah itu.

Mungkin saja ada hikmah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun yakinlah Allah punya perancanganNya untuk kita. Dan yakinlah Allah adalah sebaik-baik perancang sebagaimana cantiknya perancangan Allah dalam mewujudkan kota mekah untuk umat Islam. Dan ia tidak memakan masa sehari cuma, malah bertahun-tahun untuk kita ketemukan hikmah yang Allah aturkan untuk kita. Bersangka baiklah dengan Allah.

Memang, mereka adalah nabi pilihan. Mereka punya kekuatan itu kerana mereka Nabi. Namun adalah perlu untuk kita untuk mengambil contoh teladan itu, agar menjadi penghayatan buat diri kita. Agar kita menghormati ayah sehormat-hormatnya, dan menyayangi anak sesayang-sayangnya. Tanpa lupa bahawa segala yang dilakukan, hanyalah untuk mencari redha Allah.

Wallahua'lam.

Semoga aidiladha kali ini membuka jiwa tentang ketakwaan yang sebenar-benarnya terhadap Allah, dan mencari hikmah atas setiap yang berlaku dengan pandangan iman. InsyaAllah jiwa akan tenang, dengan rahmat dan kasih sayang dari Allah yang Maha Penyayang.

Subhanallah.

Saturday, September 1, 2012

Syawal kali ini

Assalamualaikum..

Banyak sungguh perancangan dalam kepala. Kalau tidak disusun, mau pening dan kelam kabut jadinya. Semoga Allah bimbing saya melakukan segalanya. amiiin.

Baik, selamat hari raya..!^_^ minta maaf agak terlambat, memandangkan sekarang sudah hampir pertengahan syawal. (-.-") hehe, tidak mengapa, masih belum terlambat untuk update raya, kan.

Raya kali ni, tak sempat nak berjalan sangat, banyak komitmen lain. Tak ape, raya tetap meriah. Alhamdulillah, saya happy.^_^

Gambar sekitar rumah terbuka:
Lambat pulak upload gambar ni, takpelah cukuplah yang ni.

Kemudian, setelah menggembirakan hati menyambut syawal ini, kini tibalah masanya saya mengubah haluan hidup saya. Dalam bulan syawal juga ia berlaku. Oh, apakah?

Alhamdulillah dan insyaAllah, saya akan menjadi seorang pelajar kembali. Tetapi dalam situasi dan keadaan yang berbeza. Dengan izinNya, saya bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat master. *Cuak. This is quite a turning point in my life.

Offer letter sudah ada, tarikh juga sudah ada. Tunggu masa untuk mendaftarkan diri seterusnya menyibuk dan mencabarkan diri dengan sesuatu yang menakutkan. I will be taking full time research which will cost me a lot of time and effort. Mampukah diri ini? Sungguh membimbangkan.

Namun memandangkan saya sudah ber'istikharah', solat hajat dan memohon bimbingan dari Allah, saya yakin ini yang terbaik untuk kehidupan saya. Secara zahirnya, saya sendiri tidak berapa yakin dengan kemampuan sendiri, tetapi selagi saya tidak berusaha, sampai bila pun saya takkan menjadi mampu, kan. Anyway, I need Allah guidance all the way.

Oh ya, saya bakal menyambung project yang pernah saya ceritakan di blog ini, which is quite a heavy project. But this time, I'm all-alone, teman-teman sekepala belum lagi mahu menyambung master. So I have to struggle for sure , I need to be full-motivated and have enthusiasm in finishing this project. May Allah ease the journey.amiin.

And I'm glad, Allah give me someone to be with me at this point of my life. Alhamdulillah. Thank you Allah. ^_^

Sedih sungguh mahu meninggalkan rumah ini lagi sekali. Baitul Syakirin ku.
Tapi yang paling sedih tentulah meninggalkan beliau ini.*nak nangis
dan juga beliau ini..='(
I told abah I will come back once in two weeks, tapi abah kata, 2 minggu sekali apa, 2 kali seminggu adalah. Well, he knows his daughter so well..^_^. oh my abah.=)

Now, my journey will begin. I hope everything will be fine. InsyaAllah, Allah put me this way, so I believe Allah will guide me as long as I do my best. InsyaAllah. I need your do'a as well, pray for my success ya.=)

~Fatin

Saturday, August 18, 2012

Memohon kemaafan

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, bulan penuh barakah sudah pun berlalu. Perasaan ini tidak tahu bagaimana, bercampur baur. Tidak pasti cukupkah amalan sepanjang bulan Ramadhan ini..semuanya terserah Allah, semoga Allah merahmati.

Dan paling menakutkan, mampukah untuk saya istiqamah sepanjang bulan-bulan yang bakal mendatang ini. Semoga Allah sentiasa mengingatkan ketika lupa, dan menegur jika lalai. Amin ya Allah.

Hubungan dengan Allah, perlu dijaga. Begitu juga hubungan sesama manusia.

Namun begitulah, saya ini, bukan manusia sempurna. Pasti ada khilafnya di mana-mana. Hubungan dengan manusia pun, bukan di tahap terbaik. Saya sedar itu.

Cuma apabila ada kekurangan ini, apa lagi yang mampu dikatakan selain memohon kemaafan, andai ada yang terkurang.

Tidak mudah sebenarnya kita, yang bergelar manusia ini untuk mengaku kesalahan sendiri. Namun tidak sukar juga mengungkapkan kata maaf, andai benar kita mahukan kebaikan.

Ya, berkata lebih mudah dari melaksanakan. Namun kerana kita bermatlamatkan redha Allah, segala ego harus ditelan atau dicampak saja jauh-jauh. Kita mahu telan saja segala keburukan itu, kerana tidak mahu ia mencacatkan kebaikan yang mahu timbul.

Maka saya di sini, mahu memohon seribu kemaafaan atas segala kekurangan, atau terkasar bahasa, atau segala-galanya yang mengguris hati sesiapa. Semoganya kelemahan diri ini tidak menjadi beban kepada sesiapa..

Mohon doa dan kemaafan kalian.=)

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum..
Salam Aidilfitri.^_^

Semoga dalam rahmat Allah sentiasa.=)

Wednesday, August 15, 2012

Nota ringkas

Assalamualaikum..

Hmm.. Hasrat di hati ingin menyiapkan "Musafir Ramadhan" secepat mungkin tertunda lagi. Banyak pula perkara yang perlu diselesaikan di akhir Ramadhan ni.

Apapun "Musafir Ramadhan" adalah kenangan yang bermakna di Ramadhan kali ini. Terutamanya iktikaf di masjid uia dan bertarawikh di tengah kota, pengalaman itu ternyata mahal harganya buat penulis.

Kenang-kenangan itu akan menyusul di blog ini tidak lama lagi. Sekarang sedang menyibukkan diri dengan pelbagai agenda, semoga Allah permudahkan! amiin. =)

Semoga dipertemukan Lailatul Qadr. Jika diizinkan Allah.

Wednesday, August 8, 2012

Musafir Ramadhan..Bah 3 ~ Iktikaf

Mereka melangkah pantas menujun ke bas rapidKL yang sudah sedia menunggu. Jika lewat mereka harus menunggu lagi. Kelihatannya bas itu belum bergerak, justeru itu mereka melangkah dengan senang hati.

Sebentar tadi mereka bertukar 'train' di stesen kl sentral. Dari komuter kepada LRT. Namun sungguh tidak terasa penat. Dek kerana lama tidak bertemu, segala masa yang ada dihabiskan untuk bertukar cerita dan bertanya khabar. Terasa masa berlalu dengan pantas. Sedar-sedar sudah di atas bas.

Sahabatnya Farah, juga sepertinya. Sedang menunggu masa untuk sama-sama melanjutkan pelajaran. Jika ada rezeki, insyaAllah mereka akan belajar ke peringkat seterusnya. Itupun jika mendapat jawapan dari pihak universiti. Buat masa ini mereka masih menunggu.

Bas itu bergerak melepasi post pengawal di pintu masuk. 'Pak Guard', nama panggilan buat pengawal-pengawal yang bertugas di pintu masuk, hanya melihat dari luar bas. Bas itu tidak pula ditahan seperti kebiasaan.

Namun mereka sudah pun bersedia dengan matric card masing-masing di tangan.

"Uia," detik dia di hati. Tempat yang penuh kenangan. Tempat yang mendewasakan dan mematangkan dengan segenap ujian. Sungguh dia sayang tempat belajarnya ini. Kini dia kembali untuk kesekian kalinya.

"Malam ni kita nak tidur mana?" dia bertanya sahabatnya. Rancangan mereka masih belum kemas.

"Kita iktikaf kat masjid uia nak?" sahabatnya membalas, tersenyum.

"Boleh-boleh," dia membalas pantas, tersenyum juga. Teringat kenangan dahulu sewaktu mengikuti usrah, dia pernah juga ber'iktikaf' di masjid uia. Juga sewaktu bulan Ramadhan seperti ini. Hatinya teruja.

"Nanti kita tumpang bilik Kak Zi, tinggal barang, siap-siap dan kemudian baru ke masjid," Farah menyambung.

Dia hanya mengangguk-angguk tanda setuju. Dia serasi sekali dengan sahabatnya ini. Mereka satu kepala. Jenis tidak kisah untuk mencuba sesuatu yang baru. Hatinya berbunga girang. Bolehlah dia menyambung bacaan Al-Qurannya yang sedikit tertangguh dengan perjalanan yang jauh.

Dari salah satu perhentian bas di dalam Uia, mereka melangkah laju ke mahallah (hostel) perempuan. Farah membawa beg baju dan beg sandang laptopnya.

"Rajin pulak dia ni bawa laptop," bisik hatinya, tersengih sendiri. Bolehla dia menumpang.

Sambil berjalan mereka berkongsi cerita. Tidak terasa penat, kaki melangkah tanpa mengikut arahan. Sedar-sedar sudah sampai ke bilik Kak Zi. Kebetulan Kak Zi ada, lalu mereka bertukar-tukar cerita pula dengan Kak Zi. Kak Zi akan melangsungkan perkhwinan dalam masa terdekat. Banyak pula yang ingin didengarnya.

Waktu itu, dia berasakan badannya mula lain. Sedikit sejuk, dan tidak selesa. Mungkin dia sudah diserang demam. Sepanjang perjalanan dia selesema dan batuk-batuk, namun dia tidak perasan semua itu. Terlebih teruja agaknya.

Lalu dia minta izin untuk menyiapkan diri.

Selesai solat zohor, dia dan Farah ada rancangan lain pula. Mahu ke kedai membeli sedikit barangan. Kedai itu di luar uia, jadi mereka menaiki teksi. Selesai membeli barang yang diperlukan, satu hal pula mahu mencari teksi untuk pulang ke uia. Kawasan itu agak sukar untuk mencari bas dan teksi. Kebetulan sudah lewat petang, cuma dalam satu jam sebelum waktu berbuka masuk.

Dia membaca "Ya Razzaq" berulang kali di dalam hati, semoga Allah memudahkan rezeki untuk mereka mendapatkan teksi.

bersambung..

* Gambar ihsan google.

Monday, August 6, 2012

Musafir Ramadhan..Bah 2.

Perjalanan diteruskan. Dia melangkah satu-satu, mencari surau.

Namun kata abangnya, surau jauh di sebelah sana. Sedangkan stesen komuter di sebelah sini.

Dia berfikir sejenak. Beg sandangnya terasa begitu berat. Dia mencari tempat duduk. Alhamdulillah, ada di sebelah tiang itu.

Perlahan-lahan beg sandangnya dilepaskan dari bahu. Barangnya tidak banyak, mungkin jenis beg itu yang berat. Dia duduk melepaskan lelah.

Matanya melilau memandang pelbagai jenis ragam manusia di hadapannya. Kaum cina majoritinya. Sekarang dia berada di centre shopping complex itu. Suasana masih lengang, kedai-kedai banyak masih belum dibuka.

Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Masih awal. Dia menumpang abangnya ke tempat kerja, kebetulan tempat kerja abangnya berdekatan dengan stesen komuter. Dan dia berjanji mahu bertemu sahabatnya di situ. Sahabatnya menaiki komuter dari negeri sembilan, mengambil masa juga perjalanannya.

Dia bersandar di tiang itu. Sedikit penat. Selesemanya masih belum surut. Malah batuk mula menyerang. Semalam satu hari dia atas bas, penat juga. Mujur cuaca tidak panas, malah mendung sahaja sepanjang perjalanan. Bimbang juga kalau di bulan Ramadhan ini cuaca panas terik. Tentu lebih mencabar perjalanannya. Alhamdulillah, Allah mengetahui keadaan hambaNya.

Sampai sahaja semalam, anak-anak saudara yang sudah lama tidak ditemuinya menyambutnya gembira. Seronok sekali bertemu mereka. Malam itu sempat juga dia mengajar si kakak yang sudah berusia 6 tahun menyiapkan kerja sekolahnya. Comel sungguh. Kemudian main-main mak-mak, si kakak menjadi mama, si adik menjadi papa. Dia? memegang watak kakak yang demam.

"Abang, kakak demam ni, abang pergi beli ubat," kata mama kepada papa.

Papa hanya buat tidak tahu. Mama merungut tidak puas hati.

"Kejap ye kakak, nanti mama pergi hospital ambik ubat," lantas mama turun dari katil, membonceng basikal roda tiga papa keluar dari bilik. Dia hanya memandang tersenyum. Comel ya anak-anak ni.

Lamunannya terhenti. Dia memandang jam, sudah pukul 10 lebih. Dia bangun, mahu berjalan-jalan sebentar. Menghabiskan masa 'window shopping' sementara menunggu ketibaan sahabatnya.

Dia tidak biasa menaiki komuter. Ya, kerana dahulu dia biasa memandu kereta. Dan jarang keluar sendirian melainkan ada teman sebagai penunjuk arah. Tetapi dia tidak kisah, malah berasa teruja. Kali ini, dia menjadi pelancong yang akan menggunakan segala kemudahan awam yang ada. Ini pengalaman yang menarik di bulan Ramadhan. Melatih kesabaran dan menguji ketabahan. Dia gembira sendiri.

Dia membelek-belek telefon bimbitnya. Ada masa terluang lagi sementara menanti sahabatnya. Lantas dibuka iQuran, dibacanya perlahan-lahan. Ramadhan harus dimanfaatkan. Bukan tidak ada Qur'an di dalam begnya, namun ternyata dia segan untuk membukanya di tempat umum. Segan pada siapa dia sendiri tidak tahu. Seungguh dia kesal dengan diri sendiri kerana segan tidak bertempat. Astagfirullahal'azim.

Tidak lama kemudian sahabatnya tiba. Maka bermulalah pengembaraan mereka berdua di bulan penuh barakah ini!

Musafir Ramadhan..Bah 1.

Gambar sekadar hiasan.

Dia terjaga.

"Di mana aku ni?" bisik hatinya. Pemandangan di luar agak asing.

Oh, dia di atas bas ekspres itu. Ingatannya kembali menjengah. Rupa-rupanya dia sedang menuju ke Kuala Lumpur, sendirian.

Dia tersenyum. Lupa pula dengan rancangan sendiri. Rancangan last minitnya, seperti biasa. Dia menggeleng-geleng kepala sendirian.

Semalam dia diserang selsema. Sekarang makin menjadi-jadi. Namun rancangannya tidak mampu ditunda. Malah tidak terfikir pun mahu ditunda. Dia mahu bertemu rakan-rakan yang dirindui.

Cepat benar masa berlalu. Rakan-rakannya ada yang sudah bekerja. Jadi masa bertemu agak terhad. Dia pula jauh di Terengganu. Mahu menggunakan masa yang ada untuk bertemu rakan-rakan, bak kata kawannya, pergi berziarah.

Ya, bulan Ramadhan, bukan sesuai untuk bermusafir. Tapi, kata siapa? Nabi berperang dalam bulan ini. Dengan izin Allah, dia masih punya kekuatan, dia masih punya tenaga. Letih itu perkara biasa. Dan paling penting, dia punya Allah yang menjaganya. Dengan meletakkan keyakinan pada Allah, dia tidak takut lagi.

Cuma kesihatannya agak terganggu, namun itu bukan penghalang juga. Dia yakin Allah akan permudahkan. insyaAllah.

Tidak tergambar di fikirannya pengalaman menarik yang bakal ditempuhinya bersama rakannya nanti di ibu kota itu. Dia bukan musafir biasa, musafirnya membawa agama. Maka kota besar itu, semoga tidak menenggelamkan hikmah Ramadhan buatnya.

Teringat kata-kata yang didengar di IKIM,

"Jadilah seperti mata lebah, walau hanya ada sampah di sekelilingnya, namun dia tetap mencari madu. Jangan jadi seperti mata lalat, walau berterbangan di kebun bunga, matanya tetap mancari sampah,"

Maka dia mahu menjadi mata lebah, walau ke mana dia pergi, hanya kebaikan yang dilihatnya. Semoga Allah sentiasa memelihara.