Saturday, August 18, 2012

Memohon kemaafan

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, bulan penuh barakah sudah pun berlalu. Perasaan ini tidak tahu bagaimana, bercampur baur. Tidak pasti cukupkah amalan sepanjang bulan Ramadhan ini..semuanya terserah Allah, semoga Allah merahmati.

Dan paling menakutkan, mampukah untuk saya istiqamah sepanjang bulan-bulan yang bakal mendatang ini. Semoga Allah sentiasa mengingatkan ketika lupa, dan menegur jika lalai. Amin ya Allah.

Hubungan dengan Allah, perlu dijaga. Begitu juga hubungan sesama manusia.

Namun begitulah, saya ini, bukan manusia sempurna. Pasti ada khilafnya di mana-mana. Hubungan dengan manusia pun, bukan di tahap terbaik. Saya sedar itu.

Cuma apabila ada kekurangan ini, apa lagi yang mampu dikatakan selain memohon kemaafan, andai ada yang terkurang.

Tidak mudah sebenarnya kita, yang bergelar manusia ini untuk mengaku kesalahan sendiri. Namun tidak sukar juga mengungkapkan kata maaf, andai benar kita mahukan kebaikan.

Ya, berkata lebih mudah dari melaksanakan. Namun kerana kita bermatlamatkan redha Allah, segala ego harus ditelan atau dicampak saja jauh-jauh. Kita mahu telan saja segala keburukan itu, kerana tidak mahu ia mencacatkan kebaikan yang mahu timbul.

Maka saya di sini, mahu memohon seribu kemaafaan atas segala kekurangan, atau terkasar bahasa, atau segala-galanya yang mengguris hati sesiapa. Semoganya kelemahan diri ini tidak menjadi beban kepada sesiapa..

Mohon doa dan kemaafan kalian.=)

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum..
Salam Aidilfitri.^_^

Semoga dalam rahmat Allah sentiasa.=)

Wednesday, August 15, 2012

Nota ringkas

Assalamualaikum..

Hmm.. Hasrat di hati ingin menyiapkan "Musafir Ramadhan" secepat mungkin tertunda lagi. Banyak pula perkara yang perlu diselesaikan di akhir Ramadhan ni.

Apapun "Musafir Ramadhan" adalah kenangan yang bermakna di Ramadhan kali ini. Terutamanya iktikaf di masjid uia dan bertarawikh di tengah kota, pengalaman itu ternyata mahal harganya buat penulis.

Kenang-kenangan itu akan menyusul di blog ini tidak lama lagi. Sekarang sedang menyibukkan diri dengan pelbagai agenda, semoga Allah permudahkan! amiin. =)

Semoga dipertemukan Lailatul Qadr. Jika diizinkan Allah.

Wednesday, August 8, 2012

Musafir Ramadhan..Bah 3 ~ Iktikaf

Mereka melangkah pantas menujun ke bas rapidKL yang sudah sedia menunggu. Jika lewat mereka harus menunggu lagi. Kelihatannya bas itu belum bergerak, justeru itu mereka melangkah dengan senang hati.

Sebentar tadi mereka bertukar 'train' di stesen kl sentral. Dari komuter kepada LRT. Namun sungguh tidak terasa penat. Dek kerana lama tidak bertemu, segala masa yang ada dihabiskan untuk bertukar cerita dan bertanya khabar. Terasa masa berlalu dengan pantas. Sedar-sedar sudah di atas bas.

Sahabatnya Farah, juga sepertinya. Sedang menunggu masa untuk sama-sama melanjutkan pelajaran. Jika ada rezeki, insyaAllah mereka akan belajar ke peringkat seterusnya. Itupun jika mendapat jawapan dari pihak universiti. Buat masa ini mereka masih menunggu.

Bas itu bergerak melepasi post pengawal di pintu masuk. 'Pak Guard', nama panggilan buat pengawal-pengawal yang bertugas di pintu masuk, hanya melihat dari luar bas. Bas itu tidak pula ditahan seperti kebiasaan.

Namun mereka sudah pun bersedia dengan matric card masing-masing di tangan.

"Uia," detik dia di hati. Tempat yang penuh kenangan. Tempat yang mendewasakan dan mematangkan dengan segenap ujian. Sungguh dia sayang tempat belajarnya ini. Kini dia kembali untuk kesekian kalinya.

"Malam ni kita nak tidur mana?" dia bertanya sahabatnya. Rancangan mereka masih belum kemas.

"Kita iktikaf kat masjid uia nak?" sahabatnya membalas, tersenyum.

"Boleh-boleh," dia membalas pantas, tersenyum juga. Teringat kenangan dahulu sewaktu mengikuti usrah, dia pernah juga ber'iktikaf' di masjid uia. Juga sewaktu bulan Ramadhan seperti ini. Hatinya teruja.

"Nanti kita tumpang bilik Kak Zi, tinggal barang, siap-siap dan kemudian baru ke masjid," Farah menyambung.

Dia hanya mengangguk-angguk tanda setuju. Dia serasi sekali dengan sahabatnya ini. Mereka satu kepala. Jenis tidak kisah untuk mencuba sesuatu yang baru. Hatinya berbunga girang. Bolehlah dia menyambung bacaan Al-Qurannya yang sedikit tertangguh dengan perjalanan yang jauh.

Dari salah satu perhentian bas di dalam Uia, mereka melangkah laju ke mahallah (hostel) perempuan. Farah membawa beg baju dan beg sandang laptopnya.

"Rajin pulak dia ni bawa laptop," bisik hatinya, tersengih sendiri. Bolehla dia menumpang.

Sambil berjalan mereka berkongsi cerita. Tidak terasa penat, kaki melangkah tanpa mengikut arahan. Sedar-sedar sudah sampai ke bilik Kak Zi. Kebetulan Kak Zi ada, lalu mereka bertukar-tukar cerita pula dengan Kak Zi. Kak Zi akan melangsungkan perkhwinan dalam masa terdekat. Banyak pula yang ingin didengarnya.

Waktu itu, dia berasakan badannya mula lain. Sedikit sejuk, dan tidak selesa. Mungkin dia sudah diserang demam. Sepanjang perjalanan dia selesema dan batuk-batuk, namun dia tidak perasan semua itu. Terlebih teruja agaknya.

Lalu dia minta izin untuk menyiapkan diri.

Selesai solat zohor, dia dan Farah ada rancangan lain pula. Mahu ke kedai membeli sedikit barangan. Kedai itu di luar uia, jadi mereka menaiki teksi. Selesai membeli barang yang diperlukan, satu hal pula mahu mencari teksi untuk pulang ke uia. Kawasan itu agak sukar untuk mencari bas dan teksi. Kebetulan sudah lewat petang, cuma dalam satu jam sebelum waktu berbuka masuk.

Dia membaca "Ya Razzaq" berulang kali di dalam hati, semoga Allah memudahkan rezeki untuk mereka mendapatkan teksi.

bersambung..

* Gambar ihsan google.

Monday, August 6, 2012

Musafir Ramadhan..Bah 2.

Perjalanan diteruskan. Dia melangkah satu-satu, mencari surau.

Namun kata abangnya, surau jauh di sebelah sana. Sedangkan stesen komuter di sebelah sini.

Dia berfikir sejenak. Beg sandangnya terasa begitu berat. Dia mencari tempat duduk. Alhamdulillah, ada di sebelah tiang itu.

Perlahan-lahan beg sandangnya dilepaskan dari bahu. Barangnya tidak banyak, mungkin jenis beg itu yang berat. Dia duduk melepaskan lelah.

Matanya melilau memandang pelbagai jenis ragam manusia di hadapannya. Kaum cina majoritinya. Sekarang dia berada di centre shopping complex itu. Suasana masih lengang, kedai-kedai banyak masih belum dibuka.

Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Masih awal. Dia menumpang abangnya ke tempat kerja, kebetulan tempat kerja abangnya berdekatan dengan stesen komuter. Dan dia berjanji mahu bertemu sahabatnya di situ. Sahabatnya menaiki komuter dari negeri sembilan, mengambil masa juga perjalanannya.

Dia bersandar di tiang itu. Sedikit penat. Selesemanya masih belum surut. Malah batuk mula menyerang. Semalam satu hari dia atas bas, penat juga. Mujur cuaca tidak panas, malah mendung sahaja sepanjang perjalanan. Bimbang juga kalau di bulan Ramadhan ini cuaca panas terik. Tentu lebih mencabar perjalanannya. Alhamdulillah, Allah mengetahui keadaan hambaNya.

Sampai sahaja semalam, anak-anak saudara yang sudah lama tidak ditemuinya menyambutnya gembira. Seronok sekali bertemu mereka. Malam itu sempat juga dia mengajar si kakak yang sudah berusia 6 tahun menyiapkan kerja sekolahnya. Comel sungguh. Kemudian main-main mak-mak, si kakak menjadi mama, si adik menjadi papa. Dia? memegang watak kakak yang demam.

"Abang, kakak demam ni, abang pergi beli ubat," kata mama kepada papa.

Papa hanya buat tidak tahu. Mama merungut tidak puas hati.

"Kejap ye kakak, nanti mama pergi hospital ambik ubat," lantas mama turun dari katil, membonceng basikal roda tiga papa keluar dari bilik. Dia hanya memandang tersenyum. Comel ya anak-anak ni.

Lamunannya terhenti. Dia memandang jam, sudah pukul 10 lebih. Dia bangun, mahu berjalan-jalan sebentar. Menghabiskan masa 'window shopping' sementara menunggu ketibaan sahabatnya.

Dia tidak biasa menaiki komuter. Ya, kerana dahulu dia biasa memandu kereta. Dan jarang keluar sendirian melainkan ada teman sebagai penunjuk arah. Tetapi dia tidak kisah, malah berasa teruja. Kali ini, dia menjadi pelancong yang akan menggunakan segala kemudahan awam yang ada. Ini pengalaman yang menarik di bulan Ramadhan. Melatih kesabaran dan menguji ketabahan. Dia gembira sendiri.

Dia membelek-belek telefon bimbitnya. Ada masa terluang lagi sementara menanti sahabatnya. Lantas dibuka iQuran, dibacanya perlahan-lahan. Ramadhan harus dimanfaatkan. Bukan tidak ada Qur'an di dalam begnya, namun ternyata dia segan untuk membukanya di tempat umum. Segan pada siapa dia sendiri tidak tahu. Seungguh dia kesal dengan diri sendiri kerana segan tidak bertempat. Astagfirullahal'azim.

Tidak lama kemudian sahabatnya tiba. Maka bermulalah pengembaraan mereka berdua di bulan penuh barakah ini!

Musafir Ramadhan..Bah 1.

Gambar sekadar hiasan.

Dia terjaga.

"Di mana aku ni?" bisik hatinya. Pemandangan di luar agak asing.

Oh, dia di atas bas ekspres itu. Ingatannya kembali menjengah. Rupa-rupanya dia sedang menuju ke Kuala Lumpur, sendirian.

Dia tersenyum. Lupa pula dengan rancangan sendiri. Rancangan last minitnya, seperti biasa. Dia menggeleng-geleng kepala sendirian.

Semalam dia diserang selsema. Sekarang makin menjadi-jadi. Namun rancangannya tidak mampu ditunda. Malah tidak terfikir pun mahu ditunda. Dia mahu bertemu rakan-rakan yang dirindui.

Cepat benar masa berlalu. Rakan-rakannya ada yang sudah bekerja. Jadi masa bertemu agak terhad. Dia pula jauh di Terengganu. Mahu menggunakan masa yang ada untuk bertemu rakan-rakan, bak kata kawannya, pergi berziarah.

Ya, bulan Ramadhan, bukan sesuai untuk bermusafir. Tapi, kata siapa? Nabi berperang dalam bulan ini. Dengan izin Allah, dia masih punya kekuatan, dia masih punya tenaga. Letih itu perkara biasa. Dan paling penting, dia punya Allah yang menjaganya. Dengan meletakkan keyakinan pada Allah, dia tidak takut lagi.

Cuma kesihatannya agak terganggu, namun itu bukan penghalang juga. Dia yakin Allah akan permudahkan. insyaAllah.

Tidak tergambar di fikirannya pengalaman menarik yang bakal ditempuhinya bersama rakannya nanti di ibu kota itu. Dia bukan musafir biasa, musafirnya membawa agama. Maka kota besar itu, semoga tidak menenggelamkan hikmah Ramadhan buatnya.

Teringat kata-kata yang didengar di IKIM,

"Jadilah seperti mata lebah, walau hanya ada sampah di sekelilingnya, namun dia tetap mencari madu. Jangan jadi seperti mata lalat, walau berterbangan di kebun bunga, matanya tetap mancari sampah,"

Maka dia mahu menjadi mata lebah, walau ke mana dia pergi, hanya kebaikan yang dilihatnya. Semoga Allah sentiasa memelihara.