Sunday, November 25, 2012

Realiti tidak seindah fantasi~

Assalamualalaikum..

“Masa nak kahwin memang seronok, nanti jie dah kahwin, jie tahulah macam mana”

“Selepas kahwin, sukalah sekejap masa tengah berdua tu kan. Bila dah ada anak, hmm, rasa menyesal pula kahwin awal”

“Memang tension jie kawin, banyak sangaaaat3 tanggungjawab, nanti jie tahulah bagaimana,”

“Dengan masalah tanggungjawab yang pelbagai, suami pula kurang memahami, masalah anak2, masalah kewangan lagi, berat jie..”

“Memang tension, selalu rasa tertekan,”

“Setiap hari, hari yang baru, perkara yang baru,”

Kata mereka apabila ditanya tentang alam rumahtangga. Ayat-ayat ini terus melekat dan menusuk ke jantung saya. Mendengarnya dari orang yang berbeza, membawa kepada satu kesimpulan, perkahwinan ini bukan suatu perkara yang main-main.

Padahal sebelum ini, bukan saya tak tahu tentang tanggungjawab itu semua, bukan saya tak pernah mendengar pengalaman mereka, apatah saya ini suka membaca dan menghayati pengalaman orang, namun apabila ia diulang-ulang, maka saya yakin ini bukan perkara yang boleh dibuat gurau. Ia realiti, realiti yang terlalu pahit untuk dibayangkan saya yang masih lagi bujang ini. Walaupun saya tidak punya statistik atau angka sebenar kes-kes seperti itu, namun saya yakin, kesnya bukan sedikit berlaku, tentang isteri yang tidak bahagia dan mengalami penderitaan emosi.

Jauh di sudut hati, sedikit sebanyak ia menambahkan kebimbangan yang memang sedia ada dalam diri saya.

Mendengar, membaca dan melihat, saya yakin sungguh2, ia sangat berbeza dengan mengalaminya sendiri.

Maka saya ambil itu semua, saya telan, saya hadam, dan saya harus menyediakan diri dengan segala kemungkinan tersebut. Sakit mendengar pengalaman mereka, tentulah sakit lagi mereka yang menanggung. Dan tidak mustahil saya, ya, saya di alam realitinya, bakal berhadapan dengan semua itu juga.

Saya tidak menolak kemungkinan, saya juga akan diuji. Ya, saya yakin benar saya pasti diuji setelah berumahtangga nanti. Memang hidup ini tempat ujian. Cuma ujian itulah mungkin sedikit berbeza, masing2 punya ujian tersendiri, masing2 punya bahagian. Saya tidak menolak kemungkinan itu.

Apabila mereka berkata, “Jie tahulah macam mana nanti lepas kahwin,”, dengan nada yang bercampur baur dan kelihatan penuh tekanan, saya ambil kata-kata itu sebagai satu amaran untuk saya untuk tidak terlalu mengharapkan keseronokan dan kemanisan semata-mata. Malah saya tak pernah mengharapkan bahagia yang sempurna tanpa cacat cela, kerana saya mahu hidup di alam realiti. Dan realiti selalunya tak seindah fantasi.

Pada saya, mereka yang bercerai, pada awal perkahwinan tentulah tidak mengharapkan perkara itu terjadi pada mereka. Mereka yang kematian suami isteri, juga tidak pernah terlintas di fikiran perkara itu akan berlaku pada mereka. Samalah juga yang bertelingkah sepanjang masa, di awal perkahwinan, tentulah mereka mengharapkan bahagia yang berpanjangan. Tidak kurang mereka yang berpoligami, tentu si isteri tidak pernah terfikir untuk diduakan..

Sungguh, semuanya aturan Allah, kita hanya mampu berserah kepadaNya. Saya juga tidak mustahil diuji sedemikan, nauzubillah, hanya kepada Allah saya meminta perlindungan. Tentu saja kita tidak mampu menafikan takdir. Kesedihan itu pasti ada, namun begitulah, sekali lagi, hidup memang tempat ujian.

Jadi, saya ini, yang belum melangkah ke alam itu, sentiasa berusaha untuk tidak terlalu meraikan kebahagiaan yang ada dengan sesungguh hati, kerana sedar segala kebahagiaan itu hanya pinjaman, dan pinjaman itu sifatnya tidak kekal. Cukup sekadar bahagia itu menjadikan saya lebih bersyukur, saya sudah cukup berpuas hati.

Cuma alhamdulillah, ketakutan terhadap pelbagai ujian dalam alam rumahtangga, tidak menyebabkan saya langsung menolak untuk melangkah ke alam itu. Tidak sama sekali. Saya menerimanya dengan hati terbuka, dengan keyakinan bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

Akhirnya, bebanan dan kesusahan yang dialami para isteri, saya lihat,segalanya harus kembali kepada Allah. Sedarlah kita bahawa Allah hanya menguji mengikut kemampuan hambaNya.. Apabila kita diuji, kita pasti mampu. Dan kita yang harus mencari kemampuan itu. Bukan hanya sekadar menyalahkan takdir dan menangisi nasib.

Kita ada Allah, ingatlah firman Allah ini:

“Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia akan dibalas sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik laki-laki mahupun perempaun sedangkan dia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tidak terhingga” (Al-Ghafir:40)

Sesungguhnya Allah itu ada. Dan Allah sebaik-baik pemberi balasan. Hanya Allah pemberi kekuatan sebenar saat menghadapi apa saja ujian di dunia ini.

Semua ini bagi saya, satu kitaran hidup. Semua pasti mengalaminya. Semua pasti diuji. Dan semua mungkin menghadapinya dalam keadaan yang berbeza. Saya tak berani berkata, saya mampu menghadapi semua dugaan itu, kerana hakikat sebenar mungkin lebih dari yang saya bayangkan.

Saya cuma mampu bersedia, ya bersedia dari segi emosi, mental, fizikal dan rohani terutamanya. Berusaha mengutip pengalaman-pengalam mereka sebanyak mungkin, untuk dijadikan bekalan menghadapi konflik di alam rumahtangga nanti. Semoga perjalanan itu, semakin mendekatkan diri saya kepada Allah. Kerana pada saya, jika kebahagiaan itu membuatkan kita jauh dari Allah, maka itu cuma bahagia palsu. Dan ia satu bencana buat diri kita. Bencana dunia akhirat tentunya. Nauzubiilahiminzalik.
Mohon doa kalian.=)
Doakan semuanya dipermudahkan dan sentiasa dalam redha Allah, amiin.=)

*semua gambar adalah ihsan google

Friday, November 2, 2012

Ibrah aidiladha dan ketakwaan kepada Allah

Assalamualaikum..
Lama benar tidak berupdate dek kerana sibuk dengan urusan keluarga..=) Alhamdulillah, walaupun sudah seminggu berlalu, saya terpanggil untuk menulis tentang aidiladha.

Berada dalam kepala terlalu lama, saya fikir ia perlu juga dicurahkan agar kita dapat sama-sama membuka minda, seterusnya sebagai peringatan terutamanya kepada diri saya sendiri insyaAllah..

Mengambil ibrah aidiladha, pengorbanan yang dilakukan nabi ibrahim dan nabi ismail terlalu besar pada saya. Lebih dari itu, saya melihat mereka antara contoh terbaik dalam perhubungan antara ayah dan anak.=)

Saya terfikir, betapa hebatnya seorang ayah yang sangat menyayangi anaknya ismail, sanggup meletakkan keutamaan perintah Allah berbanding keutamaan dirinya sendiri. Perintah mengorbankan anak, sungguh, pasti sukar dilakukan mana-mana ayah di dunia ini yang ada rasa kasih pada anak sendiri. Dan pengorbanan itu berlaku, tentunya atas dasar takwa kepada Allah dengan sepenuhnya.

Dan saya juga mengagumi kepatuhan seorang anak yang juga meletakkan keredhaan Allah yang paling utama. Nabi ismail ternyata sangat redha dengan keputusan ayahnya yang mahu mengorbankannya, tanpa banyak soal. Sungguh! tiada anak yang sanggup begitu, jika bukan atas dasar takwa yang kukuh kepada Allah.

"Dan Ibrahim berkata: Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.

Ya Tuhanku, anugerahkan kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.

Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim. Ibrahim berkata: 'Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!' Ia menjawab: 'Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya- Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya).

Dan Kami panggillah dia: 'Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.

Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian,

(yaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim". Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman. " (QS. Ash-Shaaffaat: 99-111)

Menambahkan kekaguman saya, bagaimana seorang anak yang pernah ditinggalkan di padang pasir yang tandus ketika kecil, tidak langsung menyimpan marah terhadap ayahnya. Malah mematuhinya tanpa dipersoalkan tindakannya. Memetik sedikit sirah nabi ismail, saya yakin ujian ini adalah ujian yang berat buat kedua-duanya, nabi Ibrahim a.s juga nabi ismail a.s.


Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya dan anaknya yang masih menyusu di padang sahara. Ibu Ismail menyusui anaknya dan mulai merasakan kehausan. Saat itu matahari bersinar sangat panas dan membuat manusia mudah merasa haus. Setelah dua hari, habislah air dan keringlah susu si ibu. Hajar dan Ismail merasakan kehausan, dan makanan telah tiada sehingga saat itu mereka merasakan kesulitan yang luar biasa. Ismail mulai menangis kehausan dan ibunya meninggalkannya untuk mencarikan air. Si ibu berjalan dengan cepat hingga sampai di suatu gunung yang bernama Shafa. Ia menaikinya dan meletakkan kedua tangannya di atas keningnya untuk melindungi kedua matanya dari sengatan matahari. Ia mulai mencari-cari sumber air atau sumur atau seseorang yang dapat membantunya atau kafilah atau musafir yang dapat menolongnya atau berita namun semua harapannya itu gagal. Ia segera turun dari Shafa dan ia mulai berlari dan melalui suatu lembah dan sampai ke suatu gunung yang bernama Marwah. Ia pun mendakinya dan melihat apakah ada seseorang tetapi ia tidak melihat ada seseorang."

Si ibu kembali ke anaknya dan ia masih mendapatinya dalam keadaan menangis dan rasa hausnya pun makin bertambah. Ia segera menuju ke Shafa dan berdiri di atasnya, kemudian ia menuju ke Marwah dan melihat-lihat. Ia mondar-mandir, pulang dan pergi antara dua gunung yang kecil itu sebanyak tujuh kali. Oleh kerananya, orang-orang yang berhaji berlari-lari kecil antara Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Ini adalah sebagai peringatan terhadap ibu mereka yang pertama dan nabi mereka yang agung, yaitu Ismail.

Setelah putaran ketujuh, Hajar kembali dalam keadaan letih dan ia duduk di sisi anaknya yang masih menangis. Di tengah-tengah situasi yang sulit ini, Allah SWT menurunkan rahmat-Nya. Ismail pun memukul- mukulkan kakinya di atas tanah dalam keadaan menangis, lalu memancarlah di bawah kakinya sumur zamzam sehingga kehidupan si anak dan si ibu menjadi terselamatkan. Si ibu mengambil air dengan tangannya dan ia bersyukur kepada Allah SWT. Ia pun meminum air itu berserta anaknya, dan kehidupan tumbuh dan bersemi di kawasan itu. Sungguh benar apa yang dikatakannya bahawa Allah SWT tidak akan membiarkannya selama mereka berada di jalan-Nya.


sumber: sirah nabi

Pada saya, sukar sekali untuk seorang anak yang punya kisah silam sebegitu, untuk menerima perintah ayahnya untuk kesekian kalinya. Paling kurang, seorang anak pasti teragak-agak untuk menerima perintah ayahnya yang pernah meninggalkannya berdua dengan ibunya di tengah panas tanpa setitik air pun. Namun perhatikan kata-kata nabi ismail apabila diberitahu oleh nabi ibrahim tentang mimpi itu:

'Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya- Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'

Beliau menerimanya dengan redha dan sepenuh tawakal kepada Allah tanpa ada secebis ragu-ragu pada perintah ayahnya. Ketakwaan itu membuatkannya patuh, kerana sedar ianya dari Allah.

Bayangkan, ketika kecil ditinggalkan di padang pasir yang panas terik, tanpa bekalan makanan dan air, itu pasti adalah sesuatu ujian yang berat jika tidak didasari takwa. Jika pada orang biasa, mungkin ia sudah menjadi satu kesedihan yang mampu menyebabkan fobia dan trauma, serta kewujudan rasa benci kepada ayah sendiri. nauzubillah. Mungkin juga akan wujudnya rasa dendam, tanpa cuba mencari hikmah di sebaliknya.

Namun ternyata, Nabi Ismail itu seorang yang sangat redha. Dan ternyata setiap yang berlaku sentiasa berhikmah. Jika bukan kerana mereka ditinggalkan di padang pasir itu, maka nabi ismail tidak mungkin akan menghentak-hentakkan kaki lalu terwujudlah telaga zam-zam yang masih lagi mengalir sehingga ke hari ini. Dan kemudiannya berkembang menjadi pusat ibadat yang dimuliakan Allah, subhanallah.

................................
Saya meilhat kisah ini sebagai kisah yang sangat bermakna, lebih dari sebuah pengorbanan yang kemudiannya menjadi satu perayaan buat umat Islam.

Saya melihat betapa perhubungan yang didasari ketakwaan ternyata dapat mewujudkan susana redha-meredhai, dan menerima segala ujian dengan hati terbuka kerana tahu ia semuanya datang dari Allah. Maka ketenangan itu dapat dinikmati tanpa ragu. Kerana segala yang Allah aturkan itu memang dipenuhi hikmah tersembunyi, dan adalah tugas kita untuk mencari hikmah itu.

Mungkin saja ada hikmah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun yakinlah Allah punya perancanganNya untuk kita. Dan yakinlah Allah adalah sebaik-baik perancang sebagaimana cantiknya perancangan Allah dalam mewujudkan kota mekah untuk umat Islam. Dan ia tidak memakan masa sehari cuma, malah bertahun-tahun untuk kita ketemukan hikmah yang Allah aturkan untuk kita. Bersangka baiklah dengan Allah.

Memang, mereka adalah nabi pilihan. Mereka punya kekuatan itu kerana mereka Nabi. Namun adalah perlu untuk kita untuk mengambil contoh teladan itu, agar menjadi penghayatan buat diri kita. Agar kita menghormati ayah sehormat-hormatnya, dan menyayangi anak sesayang-sayangnya. Tanpa lupa bahawa segala yang dilakukan, hanyalah untuk mencari redha Allah.

Wallahua'lam.

Semoga aidiladha kali ini membuka jiwa tentang ketakwaan yang sebenar-benarnya terhadap Allah, dan mencari hikmah atas setiap yang berlaku dengan pandangan iman. InsyaAllah jiwa akan tenang, dengan rahmat dan kasih sayang dari Allah yang Maha Penyayang.

Subhanallah.