Sunday, June 3, 2012

Isteri vs Isteri solehah

Assalamualaikum..

Perjalanan hidup ini, alirannya berperingkat-peringkat. Zaman berubah, status juga berubah.

Alhamdulillah, sahabat-sahabat saya sudah ramai yang mendirikan rumah tangga. Jodoh, ajal maut itu ketentuan Tuhan. Setiap yang dirancangkanNya, pasti berhikmah. Dan tentulah Allah merancang yang terbaik untuk hambaNya. =)

Menanti di perjalanan waktu, melahirkan bibit-bibit kebimbangan. Bukan bimbang usia meningkat, tidak juga bimbang waktunya belum tiba, namun ada kebimbangan lain. Bimbang diri ini masih tidak lengkap. Bimbang masih ada kekurangan apatah lagi kelemahan. Bimbang untuk memegang status keramat itu. Status "Isteri".

Ya, bergelar seorang isteri, tidak sukar. Sekadar menjadi seorang isteri, itu mudah. Akad nikah selesai, maka diri terus digelar isteri kepada suami.

Namun ia tidak semudah itu untuk bergelar isteri solehah. Ada kesabaran yang perlu menjadi teman, ada usaha untuk menjaga perbuatan, ada ujian yang perlu ditahan, malah ada perjuangan yang perlu dilakukan. Dan saya percaya tidak sedikit juga cabarannya.

Tertarik saya dengan kata-kata Farah Lee di status facebooknya,

"Isteri solehah itu bukan gelaran tetapi keperibadian, dan keperibadian itu dibentuk dengan ujian dan dugaan".

Saya yakin, pasti setiap wanita juga bercita-cita yang sama. Mahu menjadi isteri solehah. Siapa yang tidak mahu redha suami? Namun sungguh saya percaya, lebih sukar untuk mempertahankan 'title' itu, apabila umur mula meningkat, dan usia perkahwinan semakin bertambah. Pendek kata, menjadi isteri solehah mungkin tidak sesukar untuk meng'istiqamah'kannya sehingga ke hujung nyawa.

Saya sekadar mencedok pengalaman insan-insan yang dikenali, ternyata ia memang tidak mudah. Isteri solehah, cabarannya pasti hebat. Waktu tekanan melanda, mungkin juga pada 3, 4 atau 10 tahun pertama perkahwinan, maka seorang isteri, waktu itu kesolehannya mula diuji.

Waktu inilah, bukti cintanya kepada sang suami, akan dilihat. Sewaktu disibukkan dengan tugas harian, mungkin juga dengan tanggungjawab baru sebagai 'ibu mithali', maka kesungguhan untuk mempertahankan title 'isteri solehah' mungkin semakin terpinggir. Inilah yang membimbangkan.

Sama halnya pada sang suami, tatkala tanggungjawab semakin bertambah, dan tekanan mula menjadi teman, maka waktu beginilah juga cinta benar-benar diuji. Cinta bukan sekadar lafaz, ia lebih kepada kekuatan mempertahankan rasa itu sepanjang mengemudi alam rumah tangga. Tabahlah menjaga amanah anda kerana dia pasti juga sedang tabah menghadapi amarah anda.

Maka perkahwinan itu, bukan setahun dua. Bukan juga sepuluh tahun cuma. Tetapi ia hingga ke syurga. Dan perjalanan seorang isteri, sehingga ke waktu hujung nyawanya. Redha suamikah yang mengiringi, atau sebaliknya? Semoga penghujung yang baik-baik saja untuk semua, amiin.

Hati saya tersentuh mengimbau kembali peristiwa pemergian ummi tercinta. Masih jelas di ingatan saya, saat-saat terakhir ummi di dunia, abah tunduk dan membisikkan sesuatu di telinganya. Bisik abah perlahan, "abang redha segala yang ma lakukan.."

Saya pasti, itu saat yang paling indah buat arwah ummi. Apa lagi yang diperlukan selain redha suami yang mengiringi ke alam sana?

“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka.” (HR Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Subhanallah, semoga ummi benar-benar dikurniakan rahmat dan kasih sayangNya. amiin.. Al-fatihah.

Saya masih bukan seorang isteri (^_^). Mungkin terlalu jauh fikiran saya menerawang. Namun pemikiran ini, sebagai persiapan kepada diri saya sendiri insya Allah. Kerana saya sedar perkahwinan itu bukan sekadar akad nikah semata, namun ia lebih kepada persiapan untuk mengemudi hidup dan mempertahankan title 'isteri solehah sepanjang usia', selepas terlafaznya kalimah keramat itu.

Justeru itu, kepada sahabat-sahabat yang disayangi, yang telah, sedang dan akan mendirikan rumah tangga, saya percaya kalian sentiasa akan melakukan yang terbaik untuk keluarga masing-masing. Semoga berbekalkan kecekalan, kesabaran, kekuatan jiwa, kekentalan hati dan keimanan kepada Allah, akan membawa kepada keharmonian rumah tangga kalian sehingga ke syurga, amiin. Semoga akan terlahirlah baitul Muslim yang menjadi sumber kekuatan Islam nanti, insya Allah.^_^

Dan, semoga kalian semua bukan sekadar menjadi seorang isteri, tetapi mampu menjadi isteri yang solehah dan ISTIQAMAH mempertahankannya sehingga ke hujung nyawa, insya Allah. Semoga menjadi penyejuk mata dan pendamping yang setia pada suami masing-masing sehingga ke syurga.^_^

Saya menulis ini, supaya saya juga dapat membaca kembali pesanan ini, yang juga ditujukan kepada diri sendiri. Apabila masanya tiba, saya juga harus belajar untuk istiqamah memegang title itu. Doakan saya ya.^_^

Selamat Pengantin Baru, sahabat!^_^

Ikhlas,
Fatin.=)

No comments: