Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum w.b.t..
Baru ku sedari, ku lihat rambutnya mula memutih.
Hati tersentuh.
Dia masih gagah melayani kerenah anak-anak, yang kini bertambah pula dengan kehadiran cucu-cucunya.
Tabahnya dirinya, perjalanan waktu seiring pertambahan usia, kasihnya tetap di situ.
Antara sedar dan tidak.
Dia yang sentiasa berusaha memenuhi setiap impian anaknya.
Tak pernah disedari betapa letihnya dirinya, betapa runsingnya jiwanya, betapa tertekannya perasaannya.
Dia sentiasa tersenyum.
Tiada apa yang mampu menggantikan senyuman itu. Senyuman ketabahan.
Sewaktu jiwanya menangis, tiada siapa yang tahu.
Sewaktu batinnya terseksa, tiada siapa yang sedar.
Ku mengeluh. Mengenangkan diri ini tidak mampu berada di sisi, menceriakan hari-harinya.
Ku sedih, tidak akan pernah mampu membalas jasa-jasanya.
Ku mahu, bersama-sama mengisi masa tuanya.
Ku teringin, melihatnya tersenyum dengan kehadiran menantu dan cucunya.
Dari kejauhan, ku mendoakan, agar dia terus ceria.
Oh ya Allah, andai kebahagiaan anak-anak berita yang paling menyenangi hatinya,
tenanglah dirinya, kerana diri ini bahagia di samping suami tercinta.
Suami yang mendapat restunya, suami yang mengambil tanganku dari tangannya.
Suami yang kini adalah penjagaku, setelah dia yang yang selama ini sebaik mungkin membesarkanku.
Tenanglah dirinya, usah gusar tentang kehidupanku.
Kami tenang di sini, bersyukur dengan segala kurniaan.
Bukan kemewahan yang diimpikan, cukuplah hidup berbekalkan kesyukuran dan keredhaan Tuhan.
Kami mahu hidup penuh kesederhanaan.
Ku yakin, saat ku menerima semua ini,
pasti, ianya berpunca dari doa seorang ayah.
Doa seorang yang sentiasa mencintai anak-anaknya.
Doa yang lebih bernilai dibandingkan dengan harta dan segala kenikmatan dunia.
Dia yang tabah mendidik dan menghadapi kerenah anak-anak kesayangannya,
Ku mahu pinjam ketabahan itu, dia yang tersenyum di sebalik tangisan.
Dia yang gagah menongkah arus perjalanan.
Dia yang mengajarku erti kehidupan.
Dia yang dalam diam, mahu anak-anaknya beroleh kejayaan.
Walau diri ini jauh, tetapi ku doakan dia mendapat perhatian Tuhan.
Dikasihi, disayangi, dipelihara dan dirahmati Tuhan, padaku itu satu keutamaan.
Dia mungkin pernah kecapi nikmat kehidupan di dunia, namun ku mahu dia dia kecapi kehidupan yang lebih lagi nikmat di sana.
Itu doaku. Semoga husnul khatimah mengiringi penghujung waktunya. Semoga kasih sayang Allah sentiasa bersamanya. Semoga dia sentiasa bahagia di bawah naungan kasih Tuhan yang tiada tandingannya.
Itu kasih sayang seorang ayah.
Kasih sayang yang sentiasa hidup, sentiasa dekat dan sentiasa mekar di jiwa.
Terima kasih abah.
Ikhlas dari
puterimu.
No comments:
Post a Comment