Semua orang sudah berada di meja makan. Ruang makan khas untuk tetamu itu memuatkan set meja makan untuk lapan orang, dan semua sudah berada di tempat masing-masing. Suasana cukup tenang dan nyaman. Masing-masing membisu, menunggu.
Terhidang di atas meja, hidangan nasi lemak untuk makan malam. Nasi lemak bungkus yang sangat sedap, aromanya sudah cukup membuatkan masing-masing lapar. Memang nasi lemak yang digemari setiap orang.
Terdengar salam dari pintu masuk besar. Fatin bergegas bangun. Tetamu istimewa itu sudah sampai. Senyuman diukir, ada rasa riang di hatinya. Gerun juga ada. Lantas dia mempersilakan tetamu itu masuk untuk menyertai keluarganya di meja makan. Semua menunggu tetamu tersebut, dengan perasaan tidak sabar untuk menyantapi hidangan yang ada.
Tetamu itu dipersilakan duduk di bahagian hujung dan tengah meja. Tempat yang istimewa dalam keluarga itu. Selalunya diduduki abah, namun malam itu, abah memberi ruang kepada lelaki itu. Dia kelihatan malu-malu, segan mungkin. Fatin mempersilakannya duduk.
Fatin juga melabuhkan punggungnya di sebelah ummi. Ummi duduk di tengah-tengah antara mereka, memisahkan tempat duduknya dengan lelaki itu. Semua hanya senyap membisu, memerhati mungkin. Lelaki itu berlagak biasa, cuba mengawal gemuruh di hati.
Masing-masing mula membuka bungkusan nasi lemak masing-masing. Sudah tidak sabar menikmati keenakan nasi lemak istimewa itu. Fatin memerhati.
'Ah, ya Allah, kenapa tak cukup satu bungkus!' Fatin terjerit dalam hati.
Benar, di hadapan tetamu itu, tiada bungkusan nasi lemak seperti yang lainnya. Hanya ada pinggan kosong. Fatin mula resah. Mana mungkin tetamu itu tidak disajikan makanan seperti yang lain, itu bukan adab yang diajar dalam keluarganya.
Fatin segera mengambil bungkusan nasi lemaknya untuk diberi kepada tetamu itu. Tanpa disangka, ummi sudah pun terlebih dahulu bertindak. Ummi yang duduk di sebelah jejaka tampan itu sudah pun mengunjukkan bungkusannya kepada beliau. Tetamu itu malu-malu mahu menerima, namun didesak ummi dengan senyuman manis. Tiada perbualan berlaku, semuanya seperti sebuah lakonan sunyi.
Fatin memerhati. Tersenyum sendiri. Lega. Alhamdulillah. Tetamu itu disenangi ummi. Juga disenangi yang lainnya.
Tiba-tiba terdengar bunyi yang seperti biasa didengarinya. Bunyi alarm handphonenya.
Fatin membuka mata lambat-lambat.
'Ah, mimpi rupanya,' dia termenung.
'Hmm..'
'Mimpi apakah? Dan mengapakah?' Termenung dirinya sebentar.
Tetamu itu, seperti dikenalinya. Malah ummi juga ada. Bukankah ummi sudah meninggalkan dunia ini beberapa tahun yang lampau?
Dan dia mula meyedari sesuatu. Ia seperti sebuah mimpi yang membawa petunjuk. Petunjuk bahawa lelaki itu disenangi keluarganya.
'Tapi benarkah ya Allah'?.
Lantas mimpi itu dilupakan buat beberapa lamanya. Sehinggalah hampir setahun berlalu, Fatin mula menyedari sesuatu. Pada hari istimewa itu, dan ketika saat lafaz cinta itu dimeterai, Fatin mula mengimbau mimpi yang indah itu.
Tetamu itu kini sudah pun sah menjadi suaminya. Suami sehidup sematinya. Subhanallah, cantik sungguh aturan Allah.
'Benar, tetamu itu adalah jodohku, dia datang secara baik, dan diterima secara baik juga,'
Fatin senyum sendiri. Mimpi itu, sama ada benar-benar sebuah petunjuk atau bukan, meninggalkan satu impak besar dalam dirinya. Terasa seolah-olah restu ummi juga mengiringi.
Hati kecilnya lantas berbisik,
"Sungguh ummi, dia lah pilihan Allah yang terbaik untuk jie, dengan izinNya"
Note:
This is dedicated to my lovely husband.
Mimpi ini benar, dan rasa cinta ini juga benar. Segalanya benar dengan izin Allah.
I love you so much,
Happy Birthday sayang.
^_^
-07.06.2013-
-07.06.2013-
No comments:
Post a Comment